M K Land Holdings Berhad (M K Land) terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemaju hartanah pilihan di Perak dengan memperluaskan portfolio pembangunan hartanahnya menerusi pelancaran projek kediaman Eugenia dan Lily di Chemor.
Eugenia dan Lily merupakan projek kediaman teres dua tingkat yang direka untuk memenuhi pelbagai keperluan pembeli rumah dan kini dibuka untuk dijual.
Pemaju hartanah berkata, Eugenia dibangunkan dengan pendekatan praktikal, moden dan berfokus kepada keselesaan keluarga iaitu setiap unit dibina di atas tanah dengan keluasan binaan sekitar 1,855 kaki persegi.
Kediaman tersebut dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air, menjadikannya sesuai untuk keluarga yang memerlukan ruang kediaman yang selesa dan berfungsi.
“Reka bentuk kediaman ini menampilkan susun atur ruang dalaman yang terancang, dengan penekanan kepada pencahayaan semula jadi dan pengudaraan yang baik bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih sihat dan menyenangkan.
“Pembahagian ruang di dua tingkat membolehkan keseimbangan antara ruang awam dan ruang privasi, sekali gus menyokong keperluan keluarga pelbagai peringkat usia.
“Mengangkat konsep kediaman yang eksklusif, elegan dan selesa, Eugenia direka untuk menawarkan gaya hidup yang praktikal tanpa mengabaikan aspek estetik dan kesejahteraan seisi keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Terletak di kawasan Klebang Putra, Eugenia menawarkan akses mudah ke pelbagai kemudahan harian termasuk pusat beli-belah, institusi pendidikan, kemudahan perbankan serta rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan, yang menghubungkan kawasan ini ke pusat bandar Ipoh dan kawasan sekitarnya.
Selaras dengan komitmen M K Land terhadap pembangunan mampan dan lestari, Eugenia turut dirancang dalam persekitaran komuniti berpagar yang menitikberatkan aspek keselamatan dan ketenangan, disokong dengan elemen landskap hijau bagi menggalakkan gaya hidup seimbang dan harmoni dalam komuniti.
Bercakap mengenai Lily pula, M K Land berkata, pembangunan rumah teras dua tingkat itu direka khusus untuk memenuhi keperluan pembeli rumah pertama dan keluarga muda yang mencari kediaman mampu milik, praktikal dan selesa.
“Setiap unit Lily dibangunkan di atas tanah dengan keluasan binaan sekitar 1,150 kaki persegi, serta dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air.
“Susun atur kediaman ini memberi tumpuan kepada penggunaan ruang yang efisien, menjadikannya sesuai untuk kehidupan seharian keluarga kecil hingga sederhana.
“Lily ditawarkan pada harga bermula daripada RM250,000, sekali gus membuka peluang pemilikan rumah kepada lebih ramai pembeli, termasuk golongan berpendapatan sederhana,” jelasnya.
Menurutnya, projek ini juga layak untuk 100 peratus pembiayaan di bawah skim Rumah Perakku 3 dan Skim Jaminan Kredit Perumahan, menjadikannya lebih mudah diakses oleh pembeli rumah pertama.
“Dibangunkan di Raia Perdana, Lily menawarkan lokasi perumahan yang strategik dengan akses mudah ke kemudahan asas, rangkaian jalan utama serta kawasan perbandaran sedia ada.
“Gabungan harga berpatutan, reka bentuk praktikal dan lokasi strategik menjadikan Lily sebagai antara pilihan kediaman yang menarik bagi mereka yang ingin memulakan kehidupan berkeluarga dalam persekitaran yang selesa dan terancang,” jelasnya.
Ketua Hartanah Wilayah Utara, Norida Abu Kassim berkata, dengan pelancaran Eugenia di Klebang Putra 3, Lily di Raia Perdana serta Perdana Centerpoint 3 di Meru Perdana 2 dan projek-projek terdahulu seperti Carissa dan Miltonia, pihaknya berbangga dapat menawarkan pilihan kediaman dan premis komersial yang moden dan praktikal
Tambahnya, projek-projek tersebut juga menyokong pertumbuhan komuniti setempat.
“Projek-projek ini adalah bukti usaha berterusan kami untuk membina komuniti mampan yang dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang,” jelasnya. – UTUSAN










