CIMB sertai hab inovasi aset digital BNM, uji deposit token - Utusan Malaysia

CIMB sertai hab inovasi aset digital BNM, uji deposit token

NOVAN AMIRUDIN - GAMBAR FAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyertai Hab Inovasi Aset Digital (DAIH) bagi menguji penggunaan pembayaran dan penyelesaian aset digital terkawal dalam ekosistem yang diselia.

Penyertaan itu membolehkan CIMB menilai aplikasi aset digital di bawah rangka kerja yang merangkumi tadbir urus, pengurusan risiko dan pematuhan kawal selia, selaras usaha memperkukuh infrastruktur kewangan negara serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

CIMB berkata, penyertaan berkenaan mencerminkan komitmen berterusannya bersama BNM dalam menyokong pembangunan infrastruktur pasaran kewangan yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan, termasuk evolusi sistem pembayaran dan penyelesaian generasi baharu di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada penyertaan dalam DAIH, CIMB akan meneroka tokenisasi terbitan sukuknya sendiri serta penggunaan representasi deposit token bagi menyokong aliran kerja pembayaran dan penyelesaian secara menyeluruh dalam parameter ujian yang diluluskan.

“Deposit token dilihat sebagai lapisan asas penyelesaian bagi instrumen token yang membolehkan proses terbitan, pemindahan dan penyelesaian dilaksanakan secara lebih bersepadu dan automatik.

“Inisiatif ini membina asas kepada hasrat strategik kami untuk memanfaatkan deposit token bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kebolehcapaian pasaran modal, sambil kekal berteraskan sistem kewangan terkawal,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, penyertaan dalam DAIH membolehkan pihaknya meneliti bagaimana tokenisasi boleh menyokong fasa seterusnya infrastruktur pembayaran dan penyelesaian secara selamat dan terkawal.

“Fokus kami adalah membangunkan keupayaan, kawalan dan kesiapsiagaan operasi yang kukuh supaya bentuk nilai digital baharu dapat diintegrasikan ke dalam sistem kewangan secara bertanggungjawab.

“Ini merupakan langkah asas untuk menyediakan akses dipercayai kepada pelanggan terhadap pasaran modal digital dan rangkaian penyelesaian, selaras strategi Forward30 kami dalam menterjemahkan inovasi kepada hasil pasaran sebenar yang memanfaatkan pelanggan dan masyarakat,” katanya.

Melalui DAIH, CIMB akan menilai secara menyeluruh tokenisasi bertaraf bank merangkumi proses terbitan, pembayaran dan penyelesaian dengan tumpuan kepada kesiapsiagaan operasi, kawalan serta reka bentuk infrastruktur pasaran.

Program berkenaan dijangka menjana pandangan praktikal mengenai model operasi, amalan pengurusan risiko dan piawaian yang boleh menyokong kesiapsiagaan ekosistem lebih meluas terhadap penggunaan aset digital terkawal.

Dengan kerjasama rapat bersama pengawal selia dan peserta ekosistem, CIMB menyasarkan untuk membantu meletakkan asas bagi fasa seterusnya evolusi pasaran modal dan infrastruktur pembayaran Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN