Bursa Malaysia dibuka rendah susulan aktiviti ambil untung

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan aktiviti ambil untung menjelang cuti panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia memulakan dagangan minggu ini dengan nada berhati-hati apabila dibuka rendah pagi ini, susulan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam keadaan penyertaan pelabur yang semakin berkurangan menjelang cuti panjang.

Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.89 mata atau 0.05 peratus kepada 1,738.65 berbanding 1,739.54 ketika ditutup pada Jumaat lalu. 

Indeks penanda aras itu bagaimanapun dibuka 1.12 mata lebih tinggi pada 1,740.66 sebelum kembali menyusut.

Sentimen pasaran secara keseluruhan sedikit negatif dengan 164 kaunter rugi mengatasi 139 kaunter untung, manakala 320 kaunter tidak berubah. 

Sebanyak 2,114 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung. Jumlah dagangan setakat awal pagi mencecah 234.46 juta saham bernilai RM75.01 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn. Bhd., Thong Pak Leng berkata, selepas kenaikan kukuh yang dicatatkan sebelum ini, pasaran dijangka bergerak dalam jajaran sempit berikutan penyertaan yang lebih rendah sepanjang tempoh cuti.

Menurutnya, aktiviti pengambilan untung secara terpilih dalam saham berwajaran tinggi dijangka berterusan apabila pelabur menilai semula kedudukan masing-masing.

“Kami menjangkakan indeks penanda aras bergerak antara 1,730 hingga 1,745 hari ini,” katanya.

Beliau berkata, di Wall Street, sentimen bercampur-campur selepas dagangan tidak menentu pada Jumaat lalu apabila pelabur meneliti data inflasi Amerika Syarikat (AS) bagi Januari yang lebih rendah daripada jangkaan untuk mendapatkan gambaran hala tuju kadar faedah.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turut mencatatkan penurunan, dipengaruhi kelemahan saham teknologi dalam suasana ketidaktentuan global serta kebimbangan terhadap penilaian semasa.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot empat sen kepada RM12.02, Public Bank mendatar pada RM5.04 dan CIMB susut dua sen kepada RM8.44. 

Sebaliknya, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) meningkat enam sen kepada RM14.02, manakala IHH Healthcare naik satu sen kepada RM8.84.

Antara kaunter paling aktif, Hong Seng, Zen Tech dan TWL masing-masing tidak berubah pada 0.5 sen, 0.5 sen dan 2.5 sen. 

Tanco menambah 2.0 sen kepada RM1.43 dan Artroniq meningkat 1.5 sen kepada 17 sen.

Selain Tenaga Nasional, kaunter untung lain termasuk MNRB yang melonjak 24 sen kepada RM2.70, Chin Teck Plantations naik 16 sen kepada RM10.60, Fraser and Neave menokok 10 sen kepada RM33 dan Petronas Gas meningkat lapan sen kepada RM18.30.

Bagi kaunter rugi, 99 Speed Mart dan VSTECS masing-masing susut 14 sen kepada RM3.81 dan RM4.06, Kein Hing International berkurangan sembilan sen kepada RM1.16, United Plantations turun lapan sen kepada RM30.10 manakala Hextar Technologies merosot lima sen kepada RM1.12.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 turun 9.84 mata kepada 12,554.97, Indeks FBM Emas susut 4.38 mata kepada 12,733.82 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 29.13 mata kepada 17,540.54. 

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 5.95 mata kepada 12,227.96 manakala Indeks FBM ACE menambah 0.50 mata kepada 4,741.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 27.27 mata kepada 21,496.61 dan Indeks Perladangan turun 4.49 mata kepada 8,372.44. 

Indeks Tenaga bagaimanapun meningkat 2.00 mata kepada 753.10 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.10 mata kepada 175.18. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN