20,000 pesakit Gaza menunggu dipindah ke Mesir - Utusan Malaysia

20,000 pesakit Gaza menunggu dipindah ke Mesir

BEBERAPA buah ambulans menunggu untuk memasuki lintasan Rafah dari Gaza, 3 Februari lalu. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA – Kira-kira 20,000 rakyat Palestin memerlukan pemindahan perubatan segera dari Semenanjung Gaza yang dilanda perang, namun setakat ini hanya beberapa puluh orang dibenarkan keluar melalui lintasan sempadan Rafah selepas sebahagiannya dibuka pada awal bulan ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, operasi lintasan itu oleh Israel yang terhad dan sangat dikawal ketat telah menyebabkan hanya sebilangan kecil pemindahan perubatan berlaku, sehingga meninggalkan ribuan pesakit kritikal terperangkap di dalam wilayah tersebut.

Kementerian itu memberi amaran bahawa jumlah yang berlepas jauh sekali tidak mencukupi berbanding keperluan perubatan yang mendesak.

Data yang dikeluarkan oleh Pejabat Media Kerajaan Gaza menunjukkan bahawa sejak lintasan itu dibuka semula, hanya 488 orang telah melalui Rafah daripada jangkaan 1,800 orang yang sepatutnya bergerak ke dua-dua arah.

Kementerian itu berkata bahawa walaupun lintasan tersebut diumumkan dibuka semula sebahagiannya pada 2 Februari lalu, jumlah pesakit yang dibenarkan melakukan perjalanan kekal amat rendah dan sama sekali tidak seimbang dengan permintaan perubatan terkumpul.

Ia menyifatkan langkah semasa sebagai tidak mencukupi, malah gagal memenuhi kewajipan kemanusiaan paling asas terhadap mereka yang sakit dan cedera.

Pegawai-pegawai menambah bahawa mereka yang menunggu pemindahan termasuk pesakit kanser, penyakit jantung dan kegagalan buah pinggang serta individu mengalami kecederaan parah selain tidak dapat dirawat di Gaza.

Kementerian itu memberi amaran bahawa meneruskan mekanisme pemindahan sedia ada menimbulkan ancaman langsung kepada ribuan nyawa dan terus memburukkan krisis kesihatan termasuk kemanusiaan, sambil menggesa masyarakat antarabangsa memenuhi tanggungjawab undang-undang serta moral mereka.

Kenyataan itu turut merujuk kepada apa yang disifatkannya sebagai testimoni keras dan menyakitkan daripada pesakit yang berjaya keluar dari Gaza, yang kebanyakannya melaporkan dikenakan prosedur rumit dan sekatan tambahan.

Menurut kementerian, keadaan ini menambah penderitaan psikologi dan fizikal mereka ketika mereka sudah pun berada dalam keadaan kesihatan yang amat lemah.

Kementerian Kesihatan Gaza menggesa pembukaan tetap dan berkala lintasan Rafah, yang bersempadan dengan Mesir, bagi memastikan pergerakan pesakit serta mangsa cedera  tidak tertakluk kepada masa..

Ia juga menuntut pemindahan segera kes kritikal dan peningkatan ketara jumlah individu yang dibenarkan melakukan perjalanan selaras dengan skala keperluan perubatan.

Kementerian itu turut merayu campur tangan segera oleh organisasi antarabangsa dan kemanusiaan bagi menjamin hak pesakit untuk mendapatkan rawatan serta perjalanan, satu hak yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa . – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN