PASIR MAS: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan lapan butir peluru di hadapan sebuah premis perniagaan di Pengkalan Kubor, Tumpat dua minggu lalu.
Muhamad Afezi Alias, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah. Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson 9mm Parabellum model 3914 tanpa kebenaran sah di hadapan Bosku Shop Pemborong dan Peruncit Karpet Pengkalan Kubor pada pukul 8.30 malam, 6 Februari lalu.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Selain itu, lelaki terbabit turut didakwa memiliki tujuh butir peluru jenis Thai Arms 9mm dan sebutir peluru jenis NRC Luger 9mm di lokasi sama.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 6 April ini untuk sebutan semula kes serta pengurusan lantikan peguam, dan tertuduh tidak dibenarkan jamin.
Sementara itu, rakan tertuduh, Muhamad Ikhmal Aripin, 26, didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.
Ikhmal didakwa menghalang seorang pegawai polis berpangkat Sarjan Mejar ketika menjalankan tugas di lokasi, tarikh, dan masa sama. Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Kes ditetapkan sebutan semula pada 7 April ini dan tertuduh dibenarkan jaminan sebanyak RM3,000. – UTUSAN










