PASIR PUTEH: Seorang lelaki tidak sempat pulang ke rumah untuk menyambut Tahun Baharu Cina selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbalik sebelum terbakar dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kampung Wakaf Raja di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Kang Kheng An, 51, yang memandu MPV jenis Toyota Estima maut di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmy Mustofar berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku di kawasan selekoh berhampiran Pejabat Penggawa Daerah Bukit Awang di sini.
Menurutnya, seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai.
“Anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 4.13 pagi sebelum mendapati kemalangan itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Toyota Estima, Perodua Myvi dan Toyota Camry.
“MPV jenis Toyota Estima itu didapati terbalik dan terbakar. Pemandu kenderaan itu yang berasal dari Kampung Berangan, Tumpat tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya hari ini.
Azhar berkata, pemandu kereta jenis Perodua Myvi dan Toyota Camry dilaporkan selamat.
Katanya, operasi di lokasi kejadian termasuk memadam kebakaran kenderaan itu tamat kira-kira pukul 5.03 pagi.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini, kita belum dapat mengenal pasti sama ada mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN










