KUALA LUMPUR: U Mobile menyasarkan peranan sebagai pemangkin utama pendigitalan negara menerusi penubuhan Enterprise Innovation Platform (EIP) yang bakal disokong sebuah hab inovasi fizikal dan ‘sandbox’ baharu yang bakal dilancarkan Julai ini.
Hab EIP itu bakal berfungsi sebagai pusat sehenti neutral yang menghimpunkan perusahaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula niaga, institusi akademik serta agensi sektor awam bagi membangun, menguji dan mengkomersialkan penyelesaian berasaskan 5G-Advanced (5G-A) dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut U Mobile, pendekatan kolaborasi EIP berteraskan rangka kerja Bangun, Uji dan Demonstrasi, dengan hab fizikal berkenaan menjadi persekitaran sebenar untuk pengujian dan demonstrasi teknologi sebelum pelaksanaan komersial.
Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, penubuhan hab EIP mencerminkan komitmen syarikat untuk mempercepatkan inovasi perusahaan dan penggunaan teknologi generasi baharu secara lebih inklusif.
“Sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu negara, EIP selari dengan aspirasi syarikat untuk menggalakkan inovasi dan penerapan penyelesaian 5G-A serta AI. Walaupun Hab EIP akan dipacu oleh infrastruktur 5G generasi baharu dan sambungan ULTRA5G kami, ia diwujudkan sebagai platform neutral.
“Ini bermakna mana-mana perusahaan, PKS, syarikat pemula, institusi akademik atau agensi awam boleh memanfaatkan platform ini, walaupun bukan pelanggan sedia ada U Mobile,” katanya semasa majlis pengumuman berkenaan di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi EIP, peserta juga berpeluang memanfaatkan kepakaran, peralatan dan pengetahuan rakan ekosistem bagi membangunkan, menguji serta mengkomersialkan penyelesaian inovatif.
Hab EIP itu akan dilengkapi ‘sandbox’ inovasi bersepadu yang menyediakan akses 5G-A, awan dan ‘edge’, makmal peranti internet kebendaan (IoT), zon rangkaian persendirian serta ruang demonstrasi langsung.
“Antara kemudahan utama termasuk simulator ‘network slicing’, persekitaran ‘digital twin’ dan kit AR/VR bagi memastikan penyelesaian diuji dalam keadaan dunia sebenar dan bersedia untuk dilaksana,” katanya.
Sebagai langkah awal, U Mobile mengumumkan lapan rakan ekosistem pertama yang akan menyokong pembangunan dan pengesahan kes penggunaan 5G-A serta AI di platform berkenaan.
Rakan tersebut dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Rakan Utama yang terdiri daripada Amazon Web Services, Huawei Malaysia, Palo Alto Networks dan Qualcomm yang menyumbang teknologi asas serta keupayaan teras bagi menyokong operasi hab dan ‘sandbox’.
Sementara itu, Rakan Teknologi merangkumi Braintree Technologies, China Mobile International, Meraque Group dan ZTE Malaysia yang membawa kepakaran aplikasi serta pengalaman industri khusus bagi mempercepatkan pembangunan kes penggunaan perusahaan.
Tambah Ooi Yuen, kerjasama pelbagai pihak itu penting bagi memastikan Hab EIP mampu menyokong keperluan inovasi merentas sektor, termasuk pertanian pintar, automasi, dron, robotik, sistem autonomi serta keselamatan siber.
“Rakan yang diperkenalkan hari ini hanyalah permulaan dan senarai ini dijangka terus berkembang seiring keperluan inovasi yang semakin dinamik. Kami yakin EIP dan hab inovasi ini akan memainkan peranan penting dalam menyokong agenda digital dan AI negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” tambahnya. – UTUSAN









