Signature Alliance sasar projek bernilai RM1 bilion tahun ini

Signature Alliance sasar projek bernilai RM1 bilion tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Signature Alliance Group Berhad (SAG), penyedia perkhidmatan hiasan dalaman mempunyai banyak peluang projek bernilai lebih RM1 bilion dan daripada semua tender yang dimohon, tahun ini.

SAG menjangkakan permintaan bagi perkhidmatan hiasan dalaman akan kekal kukuh dalam segmen komersial, institusi dan industri, terutamanya dipacu oleh pelaburan korporat berterusan, pembangunan fasiliti kesihatan dan rehabilitasi, pendidikan, serta beberapa projek pengembangan industri terpilih.

Setakat 30 September 2025, SAG menguruskan 83 projek yang sedang berjalan dengan nilai tempahan belum ditagih sebanyak RM297.4 juta, memberikan pendapatan untuk 12 hingga 24 bulan akan datang.

Selain itu, kumpulan mempunyai banyak peluang projek bernilai lebih RM1 bilion dan daripada semua tender yang dimohon, syarikat menjangkakan sekitar 15 hingga 20 peratus akan berjaya menjadi projek sebenar seterusnya memberi asas kukuh untuk rancangan pertumbuhan SAG pada 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SAG, Darren Chang berkata, fokus syarikat pada 2026 ialah terus berkembang dan memastikan keuntungan setiap projek kekal baik.

“Selain itu, menyiapkan semua projek sedia ada dengan lancar, memilih projek bernilai tinggi secara selektif serta memperbaiki sistem dan proses operasi supaya syarikat lebih cekap,” katanya dalam kenyataan.

Dengan buku pesanan yang jelas dan imbangan kewangan yang sihat, SAG berkeyakinan mampu meneruskan pertumbuhan tanpa menjejaskan kualiti atau margin keuntungan.

Prestasi SAG pada 2025 menjadi asas keyakinan mereka, dengan keuntungan sebelum cukai bagi sembilan bulan berakhir 30 September meningkat 45 peratus kepada RM44.5 juta manakala hasil meningkat 60.3 peratus kepada RM382.2 juta.

Kumpulan juga mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 2 sen sesaham pada Oktober 2025, menunjukkan keyakinan terhadap model perniagaan yang berupaya berkembang secara konsisten.

Bagi rancangan jangka sederhana, SAG sedang memajukan pengembangan serantau termasuk perolehan tanah dan kelulusan untuk ibu pejabat dan pusat pengeluaran baharu di Selangor yang akan menumpukan pengurusan, pengeluaran dan logistik secara berpusat.

Sementara itu, operasi SAG di Pulau Pinang diperluaskan dan cawangan baharu dijangka dibuka di Johor dalam tempoh 12 hingga 24 bulan, memperkukuh kehadiran syarikat di koridor pertumbuhan utama.

Dalam aspek kelestarian, SAG terus mengintegrasikan amalan ESG dalam operasi harian, berpandukan standard pengurusan alam sekitar ISO 14001, bersama ISO 9001 dan ISO 45001 bagi kualiti dan keselamatan pekerjaan, manakala penggunaan alat digital seperti BIM dan visual 3D membantu meningkatkan koordinasi projek dan mengurangkan pembaziran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN