PETALING JAYA: Ringgit meneruskan pengukuhan ke sekitar paras RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh kelemahan berterusan mata wang AS itu di pasaran global.
Mata wang negara ditutup pada 3.9160/9220 pada 5 petang semalam, berbanding 3.9500/9555 ketika ditutup pada Selasa.
Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 3.9485/9500 berbanding dolar AS, paras yang kali terakhir dicatatkan pada Mei 2018.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penyusutan dolar AS didorong oleh kenyataan baharu Presiden AS, Donald Trump, yang dilihat memberi isyarat atau ‘lampu hijau’ terhadap kejatuhan nilai mata wang tersebut.
“Perkembangan itu telah meningkatkan jangkaan pasaran bahawa dolar AS akan terus berada dalam fasa penyusutan dalam tempoh terdekat.
“Sebelum ini, Jepun dan Rizab Persekutuan (Fed) AS dilaporkan telah menjalankan koordinasi bagi campur tangan dalam pasaran mata wang dengan tujuan mengukuhkan nilai yen.
“Langkah tersebut secara tidak langsung memerlukan dolar AS melemah bagi membolehkan pengukuhan Yen berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, keadaan ini memberi kesan positif kepada mata wang serantau termasuk ringgit, yang dijangka terus mencatat prestasi kukuh dalam jangka masa terdekat.
“Selain faktor luaran, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka kekal mampan turut menyokong permintaan terhadap ringgit.
“Asas ekonomi domestik yang stabil dan keyakinan pelabur yang berterusan dilihat menjadi pemangkin utama kepada pengukuhan mata wang tempatan,” katanya.
Turut berpandangan sama, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff yang menjangka ringgit mencecah sekitar RM3.90 minggu ini .
Katanya, sentimen terhadap dolar AS masih lagi negatif akibat tindakan kerajaan Jepun yang mungkin akan melakukan intervensi dengan membeli lebih banyak yen, sekali gus menyebabkan dolar AS semakin melemah.
“Selain itu Pengerusi Fed, Jerome Powell hanya akan digantikan pada bulan Mei nanti, yang mana akan menyebabkan polisi kadar faedah AS mungkin tidak semestinya mengikut kehendak Trump untuk diturunkan dalam masa terdekat.
“Malah, prestasi dagangan Malaysia yang cemerlang tahun lepas dijangka akan berterusan tahun ini dan ini akan membantu ringgit kekal sekitar RM3.9 ke RM4 sepanjang suku tahun pertama tahun ini,” katanya.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ringgit terus mencatat pengukuhan dan kini didagangkan di bawah paras RM4.00 berbanding dolar AS, mencerminkan sentimen positif terhadap mata wang tempatan.
“Trend pengukuhan ini dijangka berterusan dalam tempoh terdekat, didorong oleh kekukuhan asas ekonomi domestik yang kekal stabil. Prestasi ekonomi yang mampan, disokong oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri serta aktiviti pelaburan yang berdaya tahan, telah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ringgit.
“Selain itu, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) turut menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan dan seterusnya menyokong pengukuhan mata wang tempatan.
“Kadar faedah yang stabil dilihat mampu mengekang aliran keluar modal serta mengekalkan daya tarikan aset domestik,” katanya. – UTUSAN










