PETALING JAYA: Perkembangan geopolitik melibatkan Venezuela yang mengukuhkan dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dijangka tidak mengganggu momentum pertumbuhan ringgit apabila MBSB Research mengunjurkan mata wang negara menghampiri RM3.95 menjelang hujung tahun ini.
Ketua MBSB Research, Imran Yassin berkata, asas pertumbuhan Malaysia yang kukuh terus menyokong ringgit, manakala beza kadar faedah dijangka memberikan sokongan tambahan pada masa akan datang.
Katanya, ringgit telah dinilai rendah secara ketara selama beberapa dekad dan walaupun dahulu ia banyak dipengaruhi oleh harga minyak, hubungan tersebut kini kebanyakannya tidak lagi relevan.
“Pada masa kini, ringgit lebih dipengaruhi oleh beza kadar faedah. Kita perlu meneliti kadar dana persekutuan AS, kadar faedah AS secara lebih luas dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia.
“Dengan jangkaan AS akan menurunkan kadar faedah tahun ini, kita menjangkakan beza kadar faedah akan mengecil, sekali gus menjadikan ringgit lebih menarik,” katanya pada pembentangan prospek pasaran dan eksport MBSB 2026.
Menurut beliau, Malaysia juga terus mencatat aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh.
“Walaupun China kekal sebagai penyumbang utama, pelaburan dari AS turut menunjukkan peningkatan.
“Malaysia dilihat kekal menarik sebagai hab pembuatan dan eksport serantau, didorong oleh kestabilan institusi, kedaulatan undang-undang serta ekosistem perniagaan yang matang,” katanya.
Mengulas isu daya saing, pengukuhan ringgit diakui berpotensi memberi tekanan kepada sektor eksport tertentu, khususnya apabila negara pesaing seperti Vietnam, India dan China mengekalkan mata wang yang lemah.
“Namun, kesan tersebut dijangka terhad memandangkan sebahagian besar eksport Malaysia melibatkan kontrak jangka panjang dan pembuatan kontrak.
“Pengukuhan ringgit mungkin memberi kesan kepada industri tertentu, tetapi secara keseluruhan ia tidak semestinya negatif. Dasar lindung nilai dan sokongan kerajaan boleh membantu mengurangkan risiko kepada syarikat terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Imran berkata, MBSB Research turut mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih perlahan pada 4.3 peratus tahun ini, berbanding jangkaan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus pada 2025.
Katanya, perbelanjaan domestik dijangka terus meningkat, disokong pasaran buruh yang sihat, peningkatan gaji yang stabil serta kadar inflasi yang stabil.
“Penggunaan akan terus disokong pemulihan dalam sektor pelancongan dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka membawa kehadiran pelancong serta resit pelancongan lebih tinggi.
“Inflasi pula dijangka kekal stabil pada 1.8 peratus (jangkaan 2025: 1.4 peratus) dan kami merasakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengekalkan OPR pada 2.75 peratus,” katanya.
Sementara itu, perkembangan geopolitik melibatkan Venezuela dijangka tidak memberi kesan besar dalam jangka masa terdekat terhadap harga minyak global.
“Walaupun negara itu mempunyai kapasiti pengeluaran yang besar, kekangan infrastruktur dan keperluan pelaburan yang tinggi akan melambatkan peningkatan pengeluaran.
“Berdasarkan penilaian semasa, harga minyak mentah dijangka kekal sekitar AS$50 (RM203.35) hingga AS$60 (RM244.02) setong, sekali gus menghadkan potensi penurunan inflasi domestik. Keadaan ini menyokong jangkaan bahawa OPR Malaysia kekal pada tahun ini,” katanya.
Dalam konteks global, kebanyakan bank pusat dijangka mengekalkan pendirian dasar monetari atau beralih kepada pelonggaran secara berhati-hati, dengan AS berpotensi menjadi peneraju kepada penurunan kadar faedah.
“Persekitaran ini dijangka menambah kecairan global dan terus menyokong pasaran ekuiti.
“Malaysia bersama beberapa negara Asia Tenggara lain yang mencatat prestasi lebih lemah tahun lalu, dijangka mendapat manfaat daripada putaran pelaburan ke pasaran sedang pesat membangun dalam tempoh akan datang,” katanya. – UTUSAN










