Permintaan domestik kukuh pacu pertumbuhan KDNK tahun ini

Permintaan domestik kukuh pacu pertumbuhan KDNK tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan yang sederhana tetapi stabil pada 2026, dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 4.0 peratus hingga 4.5 peratus. 

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan dan sektor perkhidmatan yang dinamik.

“Permintaan domestik dijangka kekal sebagai tonggak utama pertumbuhan ekonomi pada 2026. 

“Perbelanjaan isi rumah disokong oleh pasaran buruh yang kukuh, dengan kadar pengangguran sekitar tiga peratus, peningkatan gaji serta kesinambungan bantuan tunai kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Aktiviti runcit dan e-dagang turut menunjukkan prestasi positif, dengan jualan perdagangan pengedaran diunjur berkembang sekitar 6.1 peratus, mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Selain itu, ujarnya, inflasi pula diramal berada pada paras terkawal antara 1.3 peratus hingga 2.0 peratus, membantu mengekalkan kuasa beli pengguna walaupun terdapat pelarasan dasar fiskal.

“Antara sektor yang dijangka mencatat prestasi kukuh pada 2026 ialah perkhidmatan, pembinaan dan infrastruktur, ekonomi digital serta pelancongan dan runcit. 

“Pelaburan berkaitan pusat data dan teknologi dijangka terus menarik minat pelabur asing,” katanya.

Sementara itu, menurut Philip Capital, ekonomi Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhan sederhana kepada 4.5 peratus pada 2026 berbanding 4.8 peratus pada 2025.

Firma penyelidikan itu berkata, pada 2026, disokong oleh asas domestik yang kukuh, pasaran buruh yang positif serta perbelanjaan isi rumah yang stabil.

“Realisasi pelaburan yang berterusan juga dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan tahap kelulusan pelaburan yang mencatat paras tertinggi pada 2025 menunjukkan momentum ini berkemungkinan kekal kukuh dalam tempoh terdekat.

“Namun begitu, sebagai ekonomi yang bergantung kepada perdagangan, Malaysia kekal terdedah kepada risiko penurunan akibat fragmentasi perdagangan global yang boleh mengekang kadar pertumbuhan,” katanya.

Selain itu, inisiatif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara menyokong pertumbuhan mampan serta mengukuhkan pasaran ekuiti pada 2026.

Dari sudut dasar monetari global, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) dijangka menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada julat 3.25 hingga 3.50 peratus menjelang akhir 2026. 

Philip Capital berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan pendirian dasar monetari semasa, disokong prospek pertumbuhan yang stabil serta tekanan inflasi yang berterusan. 

“Sokongan terhadap nilai ringgit hasil penyempitan perbezaan kadar faedah dijangka terhad, memandangkan sebahagian besar kesannya telah dicerminkan dalam pengukuhan ketara mata wang tempatan sepanjang 2025,” katanya. 

Mengulas mengenai ringgit, firma penyelidikan itu berkata, pada 2026, ringgit diramal diniagakan dalam julat RM4.05 hingga RM4.15 berbanding dolar AS.

“Prestasi pasaran domestik pada 2026 dijangka disokong oleh beberapa tema utama, antaranya peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) berikutan pengalihan perdagangan global, kitaran pelaburan yang semakin rancak, pengembangan pusat data, peralihan tenaga hijau, kitaran teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. 

Sementara itu,penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, KDNI 2026 adalah sekitar 4.0 hingga 4.6 peratus, dengan unjuran dari pelbagai pihak termasuk kerajaan.

Katanya, ini menunjukkan pertumbuhan yang sederhana tetapi stabil, dipacu terutamanya oleh permintaan domestik, pasaran buruh yang stabil, dan pemulihan sektor perkhidmatan.

“Persekitaran ekonomi global yang tidak menentu masih menjadi cabaran, termasuk isu tarif dan ketegangan geopolitik,” katanya.

Selain itu, jelas Aimi Zulhazmi, unjuran ekonomi dunia 2026 masih tidak menentu, tetapi majoriti institusi kewangan menjangkakan pertumbuhan sederhana, dipengaruhi oleh ketegangan perdagangan global (seperti tarif Trump) yang boleh melambatkan pertumbuhan global manakala Malaysia dijangka stabil dengan tumpuan kepada pengurusan fiskal dan kestabilan pasaran.

“Risiko utama kepada ekonomi dunia 2026 termasuklah risiko perang perdagangan yang berlanjutan, kadar inflasi dan isu rantaian global bekalan, namun begitu potensi pemulihan bergantung kepada rundingan perdagangan dan dasar yang stabil,” katanya.

CIMB Securities berkata, keadaan dijangka kekal stabil dengan pertumbuhan KDNK diunjurkan pada 4.1 peratus bagi 2026, manakala inflasi dianggarkan kekal sekitar 2 peratus. 

“Pandangan dalaman turut menjangkakan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada suku kedua 2026 bagi mengimbangi persekitaran luaran yang lebih sederhana,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN