OSK Property perkukuh landskap perumahan hijau 

OSK Property perkukuh landskap perumahan hijau 

LOKASI OSK Yarra Park adalah strategik, hanya beberapa minit dari pusat bandar Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSK Property memperkukuh komitmennya dalam pembangunan perbandaran mampan menerusi projek AYRA dan SIERRA di OSK Yarra Park, sebuah pembangunan kediaman bertanah pegangan bebas berkonsep hijau dan gaya hidup sihat yang terletak di Sungai Petani, Kedah.

AYRA dibangunkan di atas tanah seluas 7.16 hektar dan menawarkan 239 unit rumah teres dua tingkat dengan harga jualan bermula daripada RM444,600 serta mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM115.68 juta.

Sementara itu, SIERRA yang terletak bersebelahan dengan AYRA dibangunkan di atas tanah seluas 18.61 hektar dan terdiri daripada dua zon, iaitu zon 1 menawarkan kediaman eksklusif merangkumi 64 unit rumah berkembar satu tingkat, 124 unit rumah berkembar dua tingkat dan lima unit banglo dua tingkat. 

Harga jualannya bermula daripada RM673,000 dengan GDV dianggarkan RM133.33 juta. Zon 2 yang akan datang pula menawarkan 226 unit rumah berkembar satu tingkat dan 10 unit banglo dua tingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Ong Ghee Bin berkata, kedua-dua projek itu menyasarkan golongan keluarga moden serta pembeli rumah yang mengutamakan keseimbangan antara keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan hidup.

“AYRA dan SIERRA merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu OSK Yarra Park yang dirancang secara holistik dengan penekanan kepada konsep kehijauan.

“Pembangunan ini merangkumi jalan dalaman yang luas, taman linear, laluan pejalan kaki yang dipenuhi landskap hijau serta laluan basikal sepanjang 11 kilometer yang mengelilingi kawasan perbandaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, reka bentuk perbandaran tersebut memberi penekanan kepada gaya hidup aktif dan sihat, di samping mewujudkan persekitaran yang tenang, selamat dan mesra keluarga.

“Kedua-dua projek ini turut dilengkapi dengan lampu jalan pintar bertenaga solar bagi menyokong usaha kelestarian serta menyediakan persekitaran kediaman yang selesa.

“Selain itu, antara tarikan utama OSK Yarra Park ialah kawasan rekreasi Hill Park seluas 10.11 hektar yang merangkumi taman landskap rekreasi seluas 8.09 hektar serta zon sukan dan riadah seluas 3.23 hektar, yang berfungsi sebagai paru-paru hijau untuk komuniti setempat.

“Tiga tasik tadahan turut dibangunkan bagi menyokong pengurusan air secara mampan serta membantu mitigasi banjir.

“Dari aspek keselamatan, setiap kediaman di SIERRA dilengkapi dengan sistem penggera, manakala keseluruhan perbandaran dipagari dengan pagar perimeter serta pondok pengawal. Setiap rumah di SIERRA juga dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV),” ujarnya.

Ghee Bin berkata, lokasi OSK Yarra Park adalah strategik, hanya beberapa minit dari pusat bandar Sungai Petani, sekali gus memudahkan akses ke sekolah, kemudahan kesihatan, pusat membeli-belah dan keperluan harian.

“OSK Yarra Park juga berpotensi menerima limpahan pembangunan masa hadapan termasuk cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KPX).

“Dalam jangka panjang, pembangunan ini dirancang untuk diperluaskan sehingga 182.10 hektar dengan pelan induk berorientasikan masa hadapan yang menekankan konsep sara diri, jaringan jalan lingkaran serta kebolehcapaian menyeluruh antara kawasan kediaman, kemudahan dan perkhidmatan,” jelasnya.

Bagi merancakkan jualan, OSK Property menawarkan pelbagai insentif menarik termasuk yuran kemasukan sifar, pengecualian yuran guaman bagi perjanjian jual beli dan pinjaman, Memorandum Pindah Milik (MOT) percuma serta jaminan sebuah basikal elektrik (E-Bike) bagi setiap pembelian.

Pembeli juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kereta elektrik BYD M6, selain menikmati insurans kandungan rumah dan insurans kemalangan diri percuma selama dua tahun di bawah program ASSURE+. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN