Northport catat 3.8 juta TEU pada 2025

Northport catat 3.8 juta TEU pada 2025, pecah rekod 2 tahun berturut-turut

NORTHPORT juga mencatatkan jumlah pengendalian kargo konvensional tahunan tertinggi sebanyak 12.9 juta FWT pada 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport) merekodkan jumlah pengendalian kontena tahunan tertinggi dalam sejarah dengan 3,804,173 unit setara dua puluh kaki (TEU) pada 2025, mengatasi rekod sebelumya sebanyak 3,665,738 TEU yang dicapai pada 2024. 

Syarikat juga mencatatkan jumlah pengendalian kargo konvensional tahunan tertinggi sejak penubuhan Northport iaitu 12,903,714 tan berat muatan (FWT), melepasi rekod terdahulu sebanyak 12,691,633 FWT yang dicapai pada tahun 2024.

Northport berkata, pencapaian memecah rekod oleh Northport ini merupakan penyumbang utama kepada kejayaan Pelabuhan Klang yang buat pertama kalinya berjaya tersenarai dalam 10 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia pada 2025.

“Dari segi perbandingan tahun ke tahun, pengendalian kontena meningkat sebanyak 3.8 peratus, manakala pengendalian kargo konvensional berkembang sebanyak 1.7 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan, daya tahan operasi serta pelaksanaan yang konsisten di seluruh terminal Northport,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemangku Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz berkata, prestasi ini merupakan cerminan kukuh terhadap dedikasi, disiplin dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh seluruh warga kerja syarikat. 

“Walaupun beroperasi dalam persekitaran yang mencabar dan kompetitif, pasuklan Northport kekal fokus terhadap kecekapan operasi dan perkhidmatan pelanggan, sekali gus membolehkan kami mencatat pertumbuhan berterusan dalam kedua-dua perniagaan kargo kontena dan kargo konvensional,” katanya.

Selain rekod tahunan, Northport turut mencapai pencapaian baharu dari segi jumlah pengendalian bulanan pada 2025. 

“Syarikat merekodkan jumlah kontena bulanan tertinggi pernah dicapai iaitu 366,131 TEU pada Oktober 2025, manakala September 2025 menyaksikan jumlah pengendalian kargo konvensional bulanan tertinggi sejak penubuhan Northport, sebanyak 1,327,883 FWT,” katanya.

Di luar prestasi operasi, 2025 turut menandakan kemajuan penting dalam kedudukan strategik dan perjalanan kemampanan Northport. 

“Sepanjang tahun tersebut, Northport telah dilantik oleh Tailwind Shipping Lines sebagai Hab Serantau Intra-Asia, sekali gus mencerminkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan, kesalinghubungan serta peranan pelabuhan ini dalam rangkaian perkapalan serantau,” katanya.

Selain itu, Nik Muzani berkata, Northport juga terus memperkukuh agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

“Sebagai pengiktirafan terhadap usaha kemampanannya, pada Januari 2025, syarikat telah memenangi anugerah ‘Excellence in Automotive Sustainability Management Best Practices’ di Anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) ke-20 2024 dan pada Februari 2025 diiktiraf dalam kategori ‘Low Carbon Zone’ di Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024.

“Bagi menyokong operasi yang lebih hijau, Northport telah memperoleh tiga unit kenderaan elektrik Proton e.MAS 7 untuk pemantauan keselamatan operasi serta mengerahkan dua belas (12) unit motosikal elektrik Blueshark R1 bagi kegunaan operasi harian pelabuhan. 

“Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2025, syarikat juga melancarkan Rangka Kerja Pengurusan Kemampanan, yang menyediakan pendekatan berstruktur bagi mengintegrasikan prinsip ESG merentas operasi dan aktiviti perniagaan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Northport kekal komited untuk memperkukuh daya saing jangka panjang melalui inisiatif pemodenan dan pendigitalannya.

“Melangkah ke 2026, tumpuan kami adalah untuk memajukan pemodenan dan pendigitalan merentasi infrastruktur, sistem serta keupayaan tenaga kerja, di samping memastikan pertumbuhan disokong sepenuhnya oleh piawaian keselamatan yang lebih tinggi dan budaya keselamatan yang kukuh. 

“Dengan terus meningkatkan daya tahan operasi, prestasi keselamatan dan amalan kemampanan, kami meletakkan Northport pada kedudukan yang tepat untuk kekal relevan, berdaya saing dan dipercayai sebagai pintu masuk pilihan bagi perdagangan Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×