Malaysia Airports perkukuh rangkaian sempena TMM2026

Malaysia Airports perkukuh rangkaian sempena TMM2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports memperkukuh rangkaiannya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bagi memastikan ketibaan yang lancar dan mesra, disokong oleh operasi yang cekap serta kemudahan yang dipertingkatkan di lapangan terbang antarabangsa dan domestik.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, keutamaan kumpulan sepanjang TMM2026 adalah untuk mengurus peningkatan trafik penumpang sambil mengekalkan prestasi operasi yang stabil di semua lapangan terbang. 

“Semua lapangan terbang kami beroperasi di bawah rangka kerja nasional yang diselaraskan bagi memastikan piawaian perkhidmatan yang sama di setiap pintu masuk. 

“Fokus kami adalah pada penggunaan aset yang cekap, proses operasi yang stabil serta kerjasama rapat dengan rakan penerbangan. 

“Ini membolehkan kami menyokong pertumbuhan kesalinghubungan, mengurus aliran penumpang pada waktu puncak dengan berkesan dan menyediakan operasi lapangan terbang yang boleh dipercayai serta memenuhi jangkaan antarabangsa, sama ada di pintu masuk antarabangsa atau lapangan terbang domestik,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, lapangan terbang di seluruh negara telah menjalani naik taraf yang disasarkan pada 2025, dengan pemodenan menyeluruh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi teras kepada program tersebut. 

“Di Terminal 1 dan Terminal 2, lebih daripada 30 inisiatif penambahbaikan telah dilaksanakan bagi menyokong perjalanan penumpang yang lebih lancar dan inklusif, merangkumi peningkatan sistem pemprosesan penumpang, peluasan kemudahan layan diri, penambahbaikan kemudahan awam serta tawaran komersial yang dipertingkatkan.

“Antara inisiatif utama ialah penaiktarafan kiosk daftar masuk dan Open Bag Drop, pengenalan sistem pengurusan akses kenderaan bagi memperbaiki aliran trafik di kawasan tepi terminal, penyediaan 12,500 troli penumpang baharu, 100 kerusi roda percuma dan 210 kereta sorong bayi. 

“Selain itu, turut disediakan tandas mesra keluarga, ruang menunggu konsep terbuka yang diperbaharui, kemudahan surau yang dinaik taraf, serta pelancaran Calm Room untuk penumpang Terminal 2 yang mempunyai ketidakupayaan tersembunyi,” katanya.

Menyedari pengalaman TMM2026 bermula di setiap pintu masuk, Malaysia Airports turut mempercepat naik taraf di lapangan terbang lain termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan beberapa lapangan terbang domestik terpilih. 

“Penambahbaikan ini merangkumi pelaksanaan Self Service Bag Drop, sistem parkir tanpa tunai, penaiktarafan eskalator serta pembaharuan surau dan tandas, bagi memastikan keseragaman kualiti perkhidmatan di seluruh rangkaian,” katanya. 

Selain naik taraf fizikal, TMM2026 turut memperkenalkan pengalaman komersial yang dipertingkatkan di seluruh rangkaian Malaysia Airports. 

“Tawaran runcit serta makanan dan minuman telah diperluaskan dengan gabungan jenama tempatan dan antarabangsa yang lebih pelbagai, aktiviti pop-up berkonsep pengalaman serta keperluan perjalanan. 

“Antara sorotan utama ialah kerjasama dengan LEGO melalui aktivasi bertema dan tawaran eksklusif, serta kempen Licence to Win yang diperbaharui dan kini diperluaskan kepada bukan pembeli. 

“Pembukaan kedai baharu seperti Arabica, Läderach, Fred’s, Rituals dan Charlotte Tilbury di Terminal 2 turut meningkatkan pilihan dan kemudahan, di samping mengetengahkan kreativiti Malaysia dan memperkaya pengalaman lapangan terbang dari ketibaan hingga berlepas,” katanya. 

Seiring dengan penambahbaikan berfokuskan penumpang, Malaysia Airports juga telah memperkukuh strategi libat urus bersama syarikat penerbangan bagi menyokong pertumbuhan kesalinghubungan udara melalui insentif untuk laluan baharu dan yang diperluaskan. 

“Usaha ini dilengkapi dengan Geran Sepadan Penerbangan dan Charter (GSPC) oleh Tourism Malaysia di bawah Belanjawan 2026, yang membolehkan syarikat penerbangan melaksanakan aktiviti pemasaran dan promosi luar negara bagi merangsang pelancongan masuk melalui penerbangan berjadual dan charter,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN