PETALING JAYA: Public Investment Bank Berhad mengunjurkan Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan iaitu petunjuk utama inflasi berada pada purata 1.9 peratus tahun ini, menandakan sedikit peningkatan berbanding 2025, namun masih berada dalam julat unjuran rasmi 1.3 hingga 2.0 peratus.
Penganalisisnya, Sabrina Edora berkata, peningkatan sederhana ini didorong terutamanya oleh pemindahan kos berkaitan dasar secara beransur-ansur dan bukannya perubahan ketara dalam keadaan permintaan asas.
Katanya, tekanan harga dijangka kekal terkawal, disokong oleh ketiadaan permintaan berlebihan, kesan limpahan yang masih terurus daripada reformasi domestik, persekitaran harga komoditi global yang terkawal serta bias pengukuhan ringgit.
“Kesan limpahan inflasi daripada pelarasan dasar bahan api pula dijangka terhad, disokong oleh reka bentuk bersasar mekanisme BUDI Madani RON95 serta andaian kami terhadap harga minyak global yang sederhana.
“Sementara itu, peluasan asas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-invois, dan kadar tarif global yang lebih tinggi berkemungkinan memperkenalkan lapisan kos yang lebih ketara pada 2026,” katanya dalam nota penyelidikan.
Namun begitu, beliau berkata, pemindahan kos dijangka tidak sekata dan berlaku secara berperingkat, memandangkan tekanan persaingan dan penyerapan margin terus memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku penetapan harga.
Menurutnya, langkah-langkah dasar tambahan yang dijadualkan pada 2026, termasuk pengenalan rangka kerja levi pekerja asing berperingkat serta pelaksanaan cukai karbon, dijangka hanya memberi kesan terhad terhadap inflasi dalam jangka terdekat.
“Risiko utama bukan terletak pada kejutan inflasi yang berpanjangan, sebaliknya lebih kepada persepsi terhadap tekanan kos sara hidup serta susunan pelaksanaan reformasi, yang berpotensi mempengaruhi sentimen dan isyarat dasar, walaupun inflasi keseluruhan kekal stabil dan terkawal,” jelasnya.
Mengulas mengenai Kadar Dasar Semalam (OPR), Sabrina menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan pendirian dasar monetari yang stabil sepanjang 2026, dengan OPR kekal pada 2.75 peratus.
“Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Januari mengukuhkan unjuran mengekalkan kadar yang jelas, apabila bank pusat menegaskan bahawa tetapan dasar semasa masih sesuai dan menyokong aktiviti ekonomi.
“Yang penting, panduan tersebut tidak memberi isyarat ke arah sama ada pengetatan atau pelonggaran dasar, mencerminkan keutamaan BNM untuk mengekalkan fleksibiliti dalam persekitaran luaran yang tidak menentu,” ujarnya.
Tambahnya, prestasi perdagangan yang kukuh, pengukuhan ringgit dan anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 yang mantap dan telah mendorong sebahagian peserta pasaran berspekulasi mengenai kemungkinan normalisasi dasar, belum mencukupi untuk mewajarkan perubahan pendirian dasar.
“Dari perspektif BNM, mengekalkan kestabilan dilihat lebih wajar pada ketika ini, khususnya memandangkan ketidaktentuan luaran yang masih berlarutan berkaitan dasar perdagangan global, perkembangan politik di Amerika Syarikat (AS) dan risiko geopolitik yang lebih luas,” jelasnya. – UTUSAN










