IJM Land memperkukuh penawarannya dalam segmen kediaman bertanah premium menerusi pelancaran Fasa 4 Ridge View Puchong, sebuah pembangunan banglo tiga tingkat berkepadatan rendah yang terletak di kawasan dataran tinggi Puchong, Selangor.
Fasa terbaharu ini merangkumi 16 unit banglo eksklusif yang dibangunkan di atas tanah bertanah tinggi pada ketinggian kira-kira 152 meter dari paras laut, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM44.87 juta.
Projek ini kini dibuka untuk pendaftaran awal dan dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 17 Januari 2026.
Banglo tiga tingkat ini dibina di atas lot bersaiz 45 x 86 kaki dengan keluasan binaan 3,601 kaki persegi, ditawarkan pada harga bermula RM2.74 juta seunit.
Setiap unit dilengkapi lima bilik tidur dan lima bilik air, sekali gus memenuhi keperluan keluarga pelbagai generasi serta pemilik rumah yang mengutamakan ruang dan privasi.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, Fasa 4 Ridge View Puchong direka bagi memenuhi permintaan berterusan terhadap kediaman berkepadatan rendah yang menawarkan keseimbangan antara keluasan, keselamatan dan akses bandar.
“Fasa ini menampilkan banglo bertanah tinggi dengan susun atur yang fleksibel, ruang dalaman luas serta perancangan jangka panjang yang menyokong keselesaan dan mobiliti masa hadapan pemilik rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, setiap banglo turut dilengkapi persediaan lif teras, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), panel fotovoltaik, tangki tadahan air hujan serta ciri sokongan kelestarian lain yang sejajar dengan keperluan gaya hidup moden.
“Kami melihat peningkatan minat terhadap kediaman yang bukan sahaja menawarkan ruang, tetapi juga dibangunkan dengan pendekatan lestari dan berorientasikan masa depan,” katanya.
Dari aspek persekitaran, Ridge View Puchong dibangunkan berasaskan konsep landskap bertingkat dan taman berteres yang memaksimumkan pengudaraan serta pencahayaan semula jadi.
Kedudukannya yang tinggi membolehkan penghuni menikmati pemandangan terbuka termasuk panorama matahari terbenam merentasi Puchong.
Pembangunan ini turut dilengkapi kemudahan berpagar dan berpengawal, kelab komuniti, kolam renang, gimnasium, sauna dewan serba guna serta titik tinjau yang menghadap kawasan bandar, sekali gus menyokong gaya hidup aktif dalam suasana tenang.
Dari segi aksesibiliti, Ridge View Puchong disokong rangkaian lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), selain terletak berhampiran ekosistem matang Bandar Puteri Puchong yang merangkumi institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan pusat beli-belah.
Kian Soon berkata, sambutan terhadap pembangunan Ridge View kekal positif dengan fasa terdahulu mencatat kadar tempahan memberangsangkan, apabila Fasa 1 mencapai 90 peratus, manakala Fasa 2 dan Fasa 3 melepasi 80 peratus.
“Prestasi ini mencerminkan keyakinan pembeli terhadap konsep pembangunan bertanah tinggi yang menawarkan ruang, kehijauan dan perancangan menyeluruh. Fasa 4 menjadi kesinambungan kepada trajektori pertumbuhan tersebut,” katanya.
Pembinaan banglo Fasa 4 dijangka siap pada suku pertama 2028. Dengan hanya 16 unit ditawarkan, pembangunan ini dilihat sebagai peluang terhad bagi pembeli yang mencari kediaman premium di kawasan bandar matang. – UTUSAN










