PETALING JAYA: Prospek sektor perladangan kekal berhati-hati berikutan jangkaan harga minyak sawit mentah (MSM) tahun ini yang dijangka berada pada paras lebih rendah, menurut RHB Research.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memberi amaran harga komoditi berkenaan kekal tidak menentu, didorong oleh faktor geopolitik serta perubahan dasar global yang berupaya memberi kesan kepada permintaan.
Sehubungan itu, RHB Research menjangkakan harga purata MSM pada 2026 akan menyusut sedikit berbanding tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh dinamik bekalan dan permintaan global yang diramal tidak stabil.
“Harga MSM pada 2025 direkodkan sekitar RM4,306 satu tan metrik, manakala anggaran kami bagi 2026 dan 2027 masing-masing kekal pada RM4,250 dan RM4,100 satu tan metrik,” katanya dalam nota penyelidikan itu.
Berdasarkan perkembangan semasa, RHB Research mengesyorkan Johor Plantations, Sarawak Oil Palms, IOI Corporation dan London Sumatra Indonesia sebagai saham pilihan dalam sektor berkenaan, berikutan penilaian menarik dan asas perniagaan yang kukuh.
Sementara itu, SD Guthrie dan First Resources diklasifikasikan sebagai saham situasi, dengan firma berkenaan mengenal pasti empat faktor utama yang dijangka mempengaruhi pergerakan harga MSM.
Antaranya ialah fenomena La Niña yang berlaku sejak pertengahan Disember 2025 walaupun dalam skala lemah, selain pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia yang dijangka bermula pada separuh kedua 2026.
“Pelaksanaan penuh B50 dalam jangka sederhana berpotensi meningkatkan penggunaan MSM di Indonesia sehingga 18 juta tan setahun, bersamaan peningkatan kira-kira 30 peratus tahun ke tahun (YoY),” katanya.
Namun begitu, firma penyelidikan itu menjelaskan pelaksanaan dasar tersebut memerlukan peningkatan levi minyak ditapis bagi menampung kos subsidi, di samping memberi amaran terhadap risiko penurunan harga susulan kemungkinan lebihan bekalan kacang soya dari Amerika Syarikat.
RHB Research berkata, sekiranya perjanjian pembelian oleh China tidak dipenuhi sepenuhnya, ditambah dengan ketidaktentuan pelaksanaan dasar biofuel Amerika Syarikat yang menekan harga minyak kacang soya, keadaan itu berpotensi menjejaskan daya saing MSM di pasaran global.
Secara keseluruhan, RHB Research berpandangan tahun ini dijangka menyaksikan asas pasaran yang lebih stabil, namun ketidaktentuan harga MSM dijangka berterusan.
“Kami menilai keadaan ini sejajar dengan perkembangan geopolitik dan dasar global yang berkemungkinan berubah tanpa jangkaan awal,” katanya. – UTUSAN










