PETALING JAYA: Jenama kenderaan elektrik pintar mewah, BYD Malaysia dan DENZA dengan kerjasama pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia BYD Sime Motors bakal membawakan pusingan kedua acara BYD Tech Discovery ke Johor Bahru.
Acara keterlibatan pelanggan berlandaskan teknologi ini merupakan pameran interaktif yang membolehkan orang ramai melihat dan mencuba sendiri inovasi pengangkutan elektrik.
Pameran edisi selatan itu diadakan bermula hari ini hingga 25 Januari di Padang (A) Akasia @ Angsana Johor Bahru Mall yang merupakan sebahagian daripada jelajah BYD ke seluruh negara.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao berkata, usaha membawakan BYD Tech Discovery ke selatan tanah air menjadi satu langkah penting untuk meluaskan pendidikan kenderaan elektrik (EV) kepada lebih ramai penduduk Malaysia.
“Kebanyakan orang masih kurang mengenali kenderaan elektrik terutamanya di kawasan kurang EV dan pameran ini dirangka untuk membantu pengguna lebih memahami teknologi BYD sambil melihat sendiri inovasi masa depan secara lebih dekat.
“Kami percaya kefahaman yang bermakna tentang EV adalah langkah pertama ke arah penggunaan dan menerusi pendidikan berterusan dan aktiviti keterlibatan seperti ini, kami berharap untuk menggalakkan penggunaan EV sambil membina masa depan pengangkutan yang lebih lestari,” katanya dalam satu kenyataan.
Acara BYD Tech Discovery memberi peluang kepada pengunjung untuk mendalami inovasi dan keupayaan keselamatan teknologi BYD menerusi demonstrasi kejuruteraan secara langsung seperti jambatan bonggol dan gandar silang yang menampilkan Teknologi DMO.
Pengunjung turut boleh menyertai sesi pandu uji model terkini BYD dan DENZA bagi menguji keupayaan penggunaan dunia sebenar kenderaan berkenaan.
Selain itu, acara tersebut menampilkan stesen interaktif bersama pakar teknikal yang menerangkan teknologi utama seperti Bateri Bilah dan e-Platform 3.0 di samping zon gaya hidup serta tawaran promosi khas dan cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan bernilai RM38,888.
Berikutan kejayaan pamerannya di Lembah Klang tahun lalu, BYD Tech Discovery kini singgah ke Johor Bahru bagi membawa teknologi BYD dan DENZA lebih dekat kepada komuniti selatan.
Pameran itu menampilkan inovasi yang mengukuhkan kedudukan BYD sebagai syarikat teknologi global dalam menerajui masa depan mobiliti.
Acara itu dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 8 malam tanpa memerlukan pra pendaftaran dan terbuka kepada semua pengunjung termasuk pemerhati industri, bakal pembeli serta seisi keluarga.
Bagi melengkapkan pengalaman pengunjung, zon gaya hidup khas turut disediakan bersama minuman percuma.
BYD telah mengukuhkan kedudukan dengan pantas sebagai kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) No. 1 di Malaysia, disokong oleh infrastruktur kukuh di seluruh negara.
Sejak menceburi pasaran Malaysia, jejak BYD telah melangkah jauh secara konsisten dan kini meliputi lebih 40 cawangan di seluruh negara.
Kini dengan 27,000 pemilik BYD dan 1,200 pemilik DENZA di seluruh negara, BYD Tech Discovery merupakan inisiatif strategik untuk mendalamkan lagi kefahaman umum dan mempercepat penggunaan pengangkutan pintar dan lestari.
Kerajaan Negeri Johor turut menyasarkan untuk menambah bilangan EV kepada 15,840 unit menjelang 2030.
Sasaran itu disokong oleh peluasan infrastruktur pengecasan, menjadikan BYD Tech Discovery platform yang ideal untuk rakyat Malaysia semua peringkat umur meneroka dan merasai sendiri kemungkinan yang ditawarkan oleh inovasi EV.
Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors, Jeffrey Gan berkata, pihaknya berbangga memegang tempat sebagai jenama No. 1 BEV selama tiga tahun berturut-turut.
Katanya, peranan mereka bukan sahaja untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati inovasi kenderaan BYD, tetapi juga meyakini ekosistem perkhidmatan lepas jualan yang kukuh.
“Operasi BYD termasuk cawangan jualan dan perkhidmatan lepas jualan di kawasan-kawasan utama, disokong oleh BYD Academy yang memberi tumpuan khusus melahirkan pakar EV bertaraf dunia untuk pasukan kami.
“Infrastruktur kukuh, termasuk 12 pusat badan dan cat kenderaan bertauliah dan gudang alat ganti berpusat yang menguruskan 4,610 alat individu dengan kadar ketersediaan sebanyak 94 peratus turut memberikan jaminan di setiap peringkat pemilikan.
“Pameran BYD Tech Discovery mengorak langkah ke hadapan yang berani untuk membawakan pengangkutan pintar dan lestari lebih dekat dengan penduduk di kawasan selatan Malaysia dan sekitarnya dan Sime Motors komited untuk menyokong usaha ini di setiap peringkat perjalanan,” katanya. – UTUSAN










