PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berpotensi mencatat paras 1,800 mata menjelang penghujung 2026, sekiranya dasar baharu yang lebih mesra pelabur dilaksanakan, kata penganalisis.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, indeks utama pasaran saham dijangka stabil sekitar 1,700 mata untuk tempoh yang agak panjang, sekurang-kurangnya sehingga suku ketiga tahun ini.
Katanya, paras tersebut adalah tahap yang sihat dan mencerminkan pertumbuhan pasaran yang bergerak mengikut kapasiti dan asas ekonomi, bukannya pertumbuhan linear.
“Pengukuhan di pasaran saham ini akan dipacu oleh sektor semikonduktor negara. Selain itu, ia juga bergantung kepada kestabilan ekonomi global, termasuk di Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah, China dan Kanada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kestabilan politik yang relatif kukuh serta pelaksanaan inisiatif struktur dan dasar fiskal domestik yang menyokong akan terus menyokong pasaran.
“Ini sekali gus membolehkan dasar monetari menumpu kepada kestabilan jangka panjang berbanding reaksi terhadap isyarat kitaran jangka pendek.
“Oleh itu, saya jangka Bank Negara Malaysia (BNM) juga akan terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat masa ini bagi menyokong pertumbuhan dalam ekonomi,” ujarnya.
Mengulas mengenai mata wang negara pula, beliau menjangkakan ringgit kekal kukuh berbanding dolar AS, dengan jangkaan diniagakan sekitar RM3.90 hingga RM3.95 pada separuh pertama 2026.
“Mata wang negara juga antara yang terbaik di ASEAN, mengatasi kebanyakan mata wang utama, sekali gus menunjukkan asas ekonomi yang kuat,” tambahnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, faktor luar dan dalam negara menjadi pendorong utama kepada peningkat prestasi Bursa Malaysia kebelakangan ini dengan 30 syarikat yang tersenarai di papan utama petunjuk Bursa Malaysia terus menarik para pelabur.
Katanya, ini mencerminkan Bursa Malaysia secara keseluruhannya sebagai portfolio ekuiti menarik para pelabur asing dan tempatan.
“Faktor luaran seperti pelbagai peristiwa di AS terutamanya dengan pergeseran Rizab Persekutuan (Fed) AS dan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mengurangkan minat terhadap bon yang mengalih aliran pelaburan kepada pasaran ekuiti di New York, Chicago dan diseluruh dunia termasuk Malaysia.
“Tekanan oleh pentadbiran Trump kepada Fed untuk mengurangkan kadar faedah turut menggugat kebebasan Fed dalam membuat keputusan yang sesuai dengan ekonomi semasa,” jelasnya.
Tambahnya, petunjuk makro ekonomi negara berada pada kedudukan yang positif dengan perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik, ekonomi domestik yang mempunyai momentum baik dan kestabilan eksport terutamanya sektor semikonduktor dengan persetujuan awal dan pentadbiran Trump.
Jelasnya, ini memberikan petunjuk yang baik dan mempengaruhi peningkatan lebihan perdagangan negara yang berterusan.
“Defisit perbelanjaan kerajaan juga bertambah baik dengan pelaksanaan pelbagai polisi fiskal oleh kerajaan dalam mengelakkan pembaziran contohnya Budi Madani RON95.
“Yang paling menonjol adalah pengukuhan nilai mata wang ringgit sebagai yang terbaik di Asia bagi tahun 2025, menjadi pendorong untuk para pelabur memilih Malaysia.
“Laporan kewangan syarikat-syarikat besar Malaysia juga mantap didorong oleh kesungguhan pimpinan korporat,” jelasnya. – UTUSAN










