64% rakyat Malaysia pilih terus bekerja lepasi usia persaraan

64% rakyat Malaysia pilih terus bekerja lepasi usia persaraan

HO TECK SENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 64 peratus rakyat Malaysia menjangkakan akan terus bekerja atau telah bekerja melepasi usia persaraan, mencerminkan jurang persaraan yang semakin ketara antara mereka yang bersedia dari segi kewangan dan mereka yang terpaksa bekerja kerana keperluan hidup.

Berdasarkan tinjauan serantau terbaharu Sun Life bertajuk Retirement Reimagined: Asia’s Retirement Divide, persaraan di Malaysia kini semakin dibentuk oleh pilihan peribadi bagi sesetengah individu, manakala bagi yang lain ia didorong oleh tekanan kewangan.

Presiden dan Ketua Negara Sun Life Malaysia, Ho Teck Seng berkata, persaraan kini tidak lagi dianggap sebagai satu penanda aras tetap dalam kehidupan bekerja.

“Dapatan kajian menunjukkan wujud jurang yang semakin melebar antara mereka yang bekerja demi kepuasan diri dan mereka yang bekerja kerana keperluan kewangan. Tekanan ini paling ketara dalam kalangan generasi sandwich yang perlu mengimbangi keperluan lebih daripada satu generasi pada masa sama.

“Di Sun Life Malaysia, kami percaya keselamatan kewangan tidak seharusnya diserahkan kepada nasib. Matlamat kami adalah membantu rakyat Malaysia membina daya tahan kewangan supaya bekerja lebih lama kekal sebagai satu pilihan, bukan keperluan,” katanya.

Menurut tinjauan itu, 63 peratus responden yang kekal bekerja menyatakan keperluan pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian dan keselamatan kewangan jangka panjang sebagai faktor utama.

“Selain itu, sebahagian responden terus bekerja kerana tujuan dan kepuasan diri (53 peratus), rangsangan mental (53 peratus) serta untuk mengekalkan hubungan sosial (52 peratus). 

“Pada masa sama, 79 peratus responden percaya persaraan seharusnya menjadi pilihan peribadi, sekali gus menunjukkan perbezaan ketara antara individu yang mempunyai fleksibiliti kewangan dan mereka yang tidak, ketika Malaysia bergerak pantas ke arah masyarakat menua,” menurut laporan tersebut. 

Kajian itu turut mengenal pasti dua laluan persaraan utama di Asia iaitu kumpulan Gold Star Planners yang bersedia dari segi kewangan dan mampu memilih bila serta bagaimana mereka mengurangkan komitmen kerja serta Stalled Starters yang menangguhkan persaraan kerana tidak mampu berhenti bekerja.

“Bagi Gold Star Planners, keputusan untuk terus bekerja lebih didorong oleh tujuan hidup, identiti dan kesejahteraan (68 peratus), berbanding Stalled Starters (46 peratus).

“Sebaliknya, 67 peratus Stalled Starters menangguhkan persaraan kerana perlu menyimpan lebih banyak wang, menjadikan faktor kewangan sebagai sebab utama mereka terus bekerja,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, penggunaan alat kecerdasan buatan generatif (GenAI) sebagai sumber maklumat kewangan hampir berganda kepada 21 peratus berbanding 10 peratus dalam tinjauan terdahulu.

“Bagaimanapun, pergantungan kepada nasihat tradisional semakin menurun, dengan hanya 29 peratus mendapatkan pandangan bank dan 31 peratus merujuk penasihat kewangan bebas, berbanding 35 peratus dan 37 peratus pada 2024,” katanya.

Laporan itu turut menunjukkan keselamatan kewangan menjadi teras optimisme terhadap persaraan. 

Dalam kalangan bukan pesara yang menantikan hari persaraan, 47 peratus menyatakan keselamatan kewangan sebagai sebab utama, diikuti kestabilan hidup (40 peratus) dan kebebasan yang lebih besar (39 peratus).

Sebaliknya, dalam kalangan mereka yang tidak menantikan persaraan, lebih separuh (56 peratus) menyatakan ketidaktentuan kewangan sebagai punca, selain kebimbangan tidak mampu menyokong keluarga (47 peratus).

Dari sudut perancangan, kajian itu mendapati 30 peratus responden tidak membuat sebarang persediaan sebelum bersara, manakala 26 peratus hanya merancang dalam tempoh dua tahun sebelum meninggalkan pekerjaan sepenuh masa. 

Hanya 15 peratus berasa sangat yakin dengan pelan persaraan masing-masing.

Selain faktor kewangan, tahap kesihatan turut mempengaruhi pandangan terhadap persaraan. 

Hampir separuh responden yang mengubah pandangan mereka menyatakan kesihatan fizikal (49 peratus) dan mental (45 peratus) yang lebih baik daripada jangkaan sebagai faktor utama, manakala kesihatan yang buruk menjadi antara punca persaraan awal bagi 27 peratus responden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN