Zakat ASNB mula 2026

Zakat ASNB mula 2026

PNB akan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan simpanan rakyat Malaysia, berasaskan kepada kempen #KitaGenerasiLabur menjelang 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan melancarkan penilaian zakat bagi Dana Harga Tetap yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) melalui kaedah zakat berasaskan khultah menggunakan pendekatan Al-Mustaghallat mulai suku kedua 2026.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, jumlah pemegang akaun unik ASNB kekal stabil pada 13 juta, disokong oleh pertambahan kasar sebanyak 560,000 pemegang akaun sepanjang tahun, mencerminkan kepercayaan dan kesetiaan orang ramai yang berterusan.

“Menjelang 2026, PNB akan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan simpanan rakyat Malaysia, berasaskan kepada kempen #KitaGenerasiLabur, inisiatif simpanan berkala digital Auto Labur dan Pandu Impianmu.

“Selain itu, ia juga akan disokong oleh pemangkin baharu seperti kaedah pembayaran zakat berasaskan khultah menggunakan pendekatan Al-Mustaghallat mulai suku kedua 2026.

“#KitaGenerasiLabur adalah seruan kami kepada rakyat Malaysia merentasi semua generasi untuk mengubah pemikiran mereka dan mengambil tanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka dengan memulakan simpanan dan pelaburan lebih awal, melabur secara berkala serta mengekalkan disiplin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, analitik yang dipertingkatkan membolehkan PNB memahami tingkah laku pelanggan dengan lebih baik, seterusnya melaksanakan kempen yang lebih bersasar bagi menangani perubahan tingkah laku tersebut.

“Melangkah ke hadapan, kami kekal berhati-hati terhadap prospek pelaburan bagi 2026, memandangkan pasaran modal global terus menghadapi ketidaktentuan dan turun naik di tengah-tengah perubahan struktur yang mendalam dalam landskap ekonomi global.

“Ini termasuk gangguan dasar perdagangan dan kebimbangan terhadap potensi kemungkinan penilaian berlebihan, terutamanya dalam pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.

Tambahnya, di peringkat domestik, PNB akan bekerjasama rapat dengan penggubal dasar dan pemain pasaran utama untuk mempercepatkan reformasi serta meningkatkan prestasi korporat yang diperlukan bagi mengukuhkan daya saing pasaran ekuiti domestik.

“Ini bagi memastikan ia mencerminkan asas ekonomi dan pertumbuhan Malaysia yang kukuh, dipacu oleh kerangka Madani, sambil merangsang pelaburan domestik dan menggalak pertumbuhan inklusif,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN