Sijil halal lonjak jenama Cikgu Ana di pasaran runcit

Sijil halal lonjak jenama Cikgu Ana di pasaran runcit

ROHANA Mohd Isa (depan) dan Mohd Farhan Azuan Mohd Azlan bersama reruai pameran produknya, Cikgu Ana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenama makanan siap masak Cikgu Ana di bawah R.M.I Industries mencatat perkembangan ketara sejak memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2022, sekali gus membuka laluan lebih luas ke pasaran runcit dan kedai serbaneka.

Pengasas bersama merangkap Eksekutif Halal R.M.I Industries, Mohd Farhan Azuan Mohd Azlan berkata, perbezaan besar dapat dilihat sebelum dan selepas memperoleh pensijilan halal, khususnya dari segi keyakinan pengguna dan kemudahan menembusi rangkaian pasaran lebih besar.

“Perniagaan ini diusahakan oleh mak saya, Rohana Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ana. Dahulu kami bermula secara kecil sahaja, menghasilkan pes dan sambal di garaj rumah ketika pasca Perintah Kawaan Pergerakan (PKP) 2020. Pada waktu itu, kami hanya menjual melalui Facebook, WhatsApp dan kenalan terdekat. 

“Apabila kami mula menyasarkan pasaran kedai mesra dan pasar mini, barulah kami sedar pentingnya sijil halal sebagai faktor penerimaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, usaha mendapatkan sijil halal bukan sesuatu yang mudah, namun bantuan agensi kerajaan khususnya Majlis Amanah Rakyat (MARA) Melaka banyak memudahkan proses tersebut.

“Sebaik mengetahui keperluan pensijilan, kami mendapatkan maklumat melalui MARA dan mereka membantu kami memperoleh geran bagi proses halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI). 

“Cabaran pertama kami ialah mendapatkan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi selepas melalui proses lesen sementara dan akhirnya lesen penuh bersama permit bangunan, barulah permohonan halal dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Mohd Farhan berkata, pada 2022, syarikat itu akhirnya menerima sijil halal pertama melibatkan 42 produk, seterusnya membuka ruang untuk penambahan produk baharu dan program halal pengilang peralatan asal (OEM) pada tahun berikutnya. 

Dia sendiri turut mengikuti Kursus Eksekutif Halal dan Kursus Halal Juruaudit Dalaman untuk memastikan piawaian halal syarikat sentiasa dipatuhi.

Mohd Far­han berkata, selepas memperoleh pensijilan halal, sambutan terhadap produk Cikgu Ana meningkat dengan ketara. 

“Produk kami kini berada di 90 Kedai Mesra Petronas di Selatan Semenanjung, selain dipasarkan di Rissmart 24, Rissmart Butchery, pasar mini setempat serta platform e-dagang seperti Shopee, TikTok Shop dan Agrobazaar FAMA.

“Halal menaikkan kredibiliti jenama kami. Pengguna lebih yakin, pasar raya lebih mudah menerima produk dan akses ke pasaran lebih luas. Kesan halal memang jelas dan besar kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengakui terdapat beberapa cabaran dalam memastikan kelangsungan pensijilan halal, antaranya kekurangan pembekal bahan mentah seperti ikan masin proses dan daging tempatan halal. 

Namun, cabaran itu dilihat sebagai peluang untuk membantu usahawan lain memahami kepentingan pematuhan halal.

“Kami sangat berbesar hati jika dapat membantu usahawan lain untuk bersama-sama mengembangkan pasaran makanan halal di Malaysia. Pasaran ini luas dan nilainya semakin meningkat, jadi penting untuk ramai pemain industri menerokanya,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Mohd Farhan berkata, syarikat itu kini sedang melihat peluang untuk memasuki pasaran luar negara. 

Hal ini kerana pensijilan halal menjadi antara syarat utama eksport selain memberikan nilai tambah kepada produk ketika bersaing di pasaran antarabangsa.

“Kami mencari negara yang sesuai dengan cita rasa pengguna Malaysia. Dengan adanya sijil halal, potensi untuk masuk ke negara luar lebih besar dan lebih mudah. Ini sebahagian daripada perancangan jangka panjang kami dalam industri makanan halal dan OEM,” ujarnya.

Tambahnya, pensijilan halal bukan sekadar syarat pemasaran, tetapi satu jaminan bahawa produk yang dihasilkan memenuhi standard kualiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN