PETALING JAYA: Gamuda Bhd mencatat pencapaian baharu apabila nilai kontrak syarikatnya melonjak kepada paras tertinggi sebanyak RM46 bilion susulan kejayaan memperoleh tiga projek utama di Australia.
Gamuda berkata, pencapaian terbaik itu dilengkapkan dengan projek utama di Australia merangkumi Sydney Metro West – Stations Package West bernilai RM7.32 bilion, Marinus Link Stage 1 – BOW bernilai RM2.69 bilion serta projek Ladang Angin Carmody’s Hill dengan nilai kontrak RM718 juta.
“Bagi projek Sydney Metro West – Stations Package West, Kerajaan New South Wales melalui entiti perolehan Sydney Metro melantik Gamuda Engineering, anak syarikat milik penuh Gamuda di Australia, untuk melaksanakan kontrak reka dan bina bernilai AUD$2.7 bilion atau kira-kira RM7.32 bilion.
“Projek berkenaan akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Gamuda Engineering dan merangkumi reka bentuk serta pembinaan lima stesen metro iaitu Westmead, North Strathfield, Burwood North, Five Dock dan The Bays.
“Skop kerja turut membabitkan pembinaan struktur stesen, pintu masuk dan laluan akses, kelengkapan dalaman stesen, infrastruktur berkaitan serta integrasi pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Gamuda berkata, kontrak baharu itu menandakan kejayaan pemerolehan projek tunggal terbesar kumpulan di Australia setakat ini.
“Ia juga adalah kontrak kedua utama berkaitan Sydney Metro selepas penganugerahan pakej Western Tunnelling bernilai AUD$2.16 bilion (RM5.84 bilion) pada 2022,” katanya.
Mengulas lanjut, perancangan serta reka bentuk terperinci projek Sydney Metro West dijangka bermula pada Januari 2026, manakala kerja pembinaan utama dijadualkan bermula pada akhir 2026 atau awal 2027 sebelum siap sepenuhnya menjelang 2031.
Melalui segmen tenaga baharu, DT Infrastructure, anak syarikat milik penuh Gamuda di Australia, kumpulan itu turut dianugerahkan kontrak Balance of Plant (BOP) bagi projek Ladang Angin Carmody’s Hill di wilayah pertengahan utara Australia Selatan.
“Kontrak bernilai AUD$265 juta atau kira-kira RM718 juta itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh DT Infrastructure, sekali gus mengukuhkan pembabitan Gamuda dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Australia,” katanya.
Semalam, Gamuda mengumumkan Marinus Link Pty Ltd telah menganugerahkan kontrak Marinus Link Stage 1 – BOW kepada TasVic Greenlink, sebuah usaha sama 50:50 antara DT Infrastructure dan Samsung C&T Corporation.
Kedua-dua projek Marinus Link Stage 1 dan Ladang Angin Carmody’s Hill dijadualkan bermula pada awal 2026 dengan tempoh kontrak masing-masing selama lima tahun dan 28 bulan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ketara buku pesanan kumpulan ke paras rekod RM46 bilion.
Kedua-dua projek baharu ini mengukuhkan lagi kapasiti penjanaan tenaga Gamuda di Australia, yang ketika ini merangkumi Ladang Solar Goulburn River berkapasiti 585 MWp dan Ladang Angin Boulder Creek berkapasiti 228 MW.
Projek Marinus Link merupakan cadangan penyambung elektrik dan data dasar laut serta bawah tanah antara Tasmania dan Victoria, yang bertujuan meningkatkan keselamatan tenaga, menggalakkan pelaburan tenaga boleh baharu serta memberi manfaat langsung kepada pengguna dalam Pasaran Elektrik Kebangsaan Australia.-UTUSAN










