Petani, pesawah diseru manfaat Skim Takaful Tanaman Padi

Petani, pesawah diseru manfaat Skim Takaful Tanaman Padi

SYED Hairul Anuar Syed Fadzil (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Minggu Lestarian Agrobank 2025 hari ini. UTUSAN. M.FIRDAUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agrobank menyeru semua petani, terutama pesawah yang terjejas akibat banjir di negeri utara, supaya segera mendaftar Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang disediakan kerajaan bagi mengelakkan kelewatan penyaluran bantuan.

Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil berkata, masih terdapat kumpulan kecil pesawah yang belum membuka akaun dan melengkapkan proses pendaftaran melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), walaupun skim itu dilancarkan dan ditawarkan secara percuma kepada kumpulan sasar.

Menurut beliau, setakat ini, dianggarkan 70,000 pesawah di seluruh negara telah berdaftar, namun jumlah itu masih kecil buat masa ini.

“Ini membuatkan kami bimbang bantuan tidak dapat disalurkan tepat pada masanya sekiranya penerima masih belum mengambil tindakan.

“Agrobank menyeru pesawah untuk melengkapkan Borang Cadangan Takaful dan membuka akaun simpanan di Agrobank.

“Ini bagi melayakkan mereka menerima manfaat di bawah STTP secara percuma, malah skim ini bertujuan memberikan perlindungan kepada pesawah. 

“Ini khususnya mereka yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Minggu Kelestarian Agrobank 2025 di sini, semalam.

Beliau berkata, skim itu menyediakan perlindungan takaful sehingga RM3,000 bagi bencana alam, manakala bagi ancaman serangga perosak dan penyakit tanaman, pesawah layak menerima perlindungan sehingga RM1,500.

“Ini mengikut jumlah perlindungan asal semusim per hektar sekiranya berlaku sebarang musibah.

“Pesawah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini juga diminta segera membuat laporan kerosakan kepada PPK masing-masing bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak bank agar bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan,” katanya.

Syed Hairul Anuar berkata, pesawah hanya perlu membuka akaun simpanan Agrobank (tanpa deposit) untuk menerima manfaat skim terbabit.

Dalam perkembangan lain, Agrobank melancarkan Minggu Kelestarian 2025, program lima hari yang bertujuan meningkatkan kesedaran, kefahaman serta tindakan dalam kalangan warga kerjanya terhadap agenda kemampanan dan isu perubahan iklim.

Syed Hairul Anuar berkata, program itu bukan sekadar program kesedaran, tetapi langkah penting dalam menggerakkan tindakan sebenar. 

“Melalui pelancaran Net Zero Roadmap dan kerjasama strategik yang dimeterai hari ini, kami memastikan setiap warga Agrobank memahami peranan mereka dalam menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan mampan.

“Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang minggu ini termasuk seminar, bengkel, sesi panel dan jemputan pakar dari industri seperti pertanian lestari, Solar, kenderaan elektrik (EV), ‘Just Climate Risk’, pameran, kuiz dan pertandingan.

“Ini turut merangkumi kempen gaya hidup lestari seperti ‘Bring Your Own Container’ bagi mengurangkan penggunaan single use plastic, pengurangan penggunaan kertas dan juga penjimatan elektrik,” katanya. 

Penganjuran itu turut menandakan pelancaran rasmi Pelan Hala Tuju Sifar Bersih, Buku Panduan Amalan Hijau dan sorotan pencapaian utama perjalanan kemampanan Agrobank.

Majlis perasmian itu turut disertai penyerahan Surat Lantikan (LOA) kepada Samaiden (solar PV) dan Maeko (kompos makanan).

Usahasama itu memperlihatkan komitmen Agrobank dalam memperkukuh penggunaan teknologi hijau yang memberi impak nyata terhadap pengurangan pelepasan gas rumah hijau, pengurusan sisa serta kecekapan tenaga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN