OSK Property memperkukuh kehadirannya di wilayah selatan tanah air menerusi pelancaran OSK Areca, pembangunan apartmen servis pegangan bebas pertama kumpulan itu di Nilai, Negeri Sembilan, sekali gus menandakan penampilannya di kawasan berkenaan.
Dibina di atas tanah seluas kira-kira 1.05 hektar di Bandar Baru Nilai, OSK Areca bakal menampilkan 944 unit apartmen servis dengan susun atur praktikal meliputi konfigurasi satu tambah satu bilik tidur dan dua bilik tidur, berkeluasan antara 592 hingga 753 kaki persegi, dengan harga permulaan sekitar RM363,000.
Pembangunan ini turut menawarkan satu hingga dua petak parkir bagi setiap unit, selain pilihan pakej separa lengkap.
Lebih 30 kemudahan gaya hidup disediakan merentasi beberapa aras, manakala pelancaran rasmi projek disasarkan pada separuh pertama 2026 dan siap sepenuhnya pada 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Ong Ghee Bin berkata, OSK Areca direka bagi memenuhi keperluan generasi baharu yang mengutamakan keseimbangan hidup, kesalinghubungan dan persekitaran komuniti yang menyokong.
“OSK Areca bukan sekadar pembangunan kediaman, sebaliknya sebuah ruang yang menggalakkan interaksi komuniti, kesejahteraan dan keselesaan harian, di samping menawarkan nilai jangka panjang yang kukuh kepada pemilik rumah serta pelabur,” katanya.
Nilai dikenali sebagai antara hab pendidikan utama negara dengan kehadiran lebih 10 institusi pengajian tinggi, tujuh taman perindustrian serta populasi pelajar melebihi 40,000 orang, disokong komuniti pekerja yang besar.
Ekosistem akademik dan perindustrian yang kukuh ini menyumbang kepada pasaran kediaman yang berdaya tahan dengan kadar penghunian sewaan yang sihat serta trend sewaan yang meningkat.
Menurut Ghee Bin, Nilai sedang berkembang pesat sebagai bandar satelit lengkap hasil pertumbuhan populasi, penambahbaikan infrastruktur dan peningkatan aktiviti ekonomi.
“Pembangunan perindustrian, logistik dan komersial yang berterusan di sekitar Nilai dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan permintaan terhadap kediaman yang strategik dan praktikal untuk golongan profesional serta tenaga mahir,” ujarnya.
Dari segi lokasi, OSK Areca terletak di pusat Bandar Baru Nilai dengan akses mudah ke kemudahan runcit, makanan dan hiburan termasuk AEON Mall Nilai, Lotus’s Nilai, Nilai Square dan Mesa Mall. Antara kemudahan utama berhampiran ialah MILA University, Nilai University, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), INTI International University serta Aurelius Hospital dan projek Auto City yang diumumkan baru-baru ini.
Projek ini turut menikmati jaringan perhubungan yang baik melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dengan jarak perjalanan sekitar 30 hingga 45 minit ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Seremban, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2) terletak kurang 20 minit pemanduan.
Akses rel melalui Stesen KTM Komuter Nilai dan Stesen ERL Salak Tinggi turut menyokong mobiliti harian penduduk.
Selain itu, pembinaan jalan Nilai, Labu dan Enstek (NLE) dijangka meningkatkan lagi kesalinghubungan ke Bandar Enstek dan Labu, sekali gus mengukuhkan daya tarikan OSK Areca kepada populasi profesional yang semakin bertambah.
Berteraskan falsafah reka bentuk ‘Live, Play, Connect, Be Happy’, OSK Areca menawarkan kemudahan seperti kolam renang 50 meter, ruang kerja bersama, gimnasium, kompleks sukan pelbagai guna serta Sky Terrace di aras 36 yang dilengkapi trek joging, dek meditasi dan ruang santai.
Bagi meningkatkan kemudahan harian, penghuni turut ditawarkan perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke universiti berhampiran, stesen pengangkutan awam dan pusat runcit.
Sejumlah unit terpilih turut direka sebagai Garden Homes dengan dek taman terbuka yang memberikan akses terus ke podium kemudahan.
OSK Areca dibangunkan selaras dengan keperluan pensijilan GreenRE dan dijangka menerima pensijilan tersebut, mencerminkan perancangan mampan serta ciri cekap tenaga bagi manfaat jangka panjang. – UTUSAN










