Malaysia berada pada kedudukan menguntungkan dalam perjanjian ART

Malaysia berada pada kedudukan menguntungkan dalam perjanjian ART

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berada pada kedudukan yang lebih menguntungkan berbanding unjuran awal kerajaan susulan pemeteraian Perjanjian Tarif Timbal Balik Amerika Syarikat-Malaysia (ART), menurut AmInvest.

Firma penyelidikan itu berkata, susulan pemeteraian ART, Malaysia memperoleh pengecualian tambahan tarif timbal balik (RT) melibatkan 1,711 baris tarif.

“Analisis kami menunjukkan bahawa ART secara berkesan menjadikan 90.7 peratus daripada jumlah keseluruhan baris tarif Malaysia dikecualikan daripada RT, atau 74.5 peratus dari segi nilai.

“Pengecualian RT yang dipertingkatkan ini membawa kami kepada pandangan bahawa pengeluar semikonduktor dan elektrik & elektronik (E&E) dari Amerika Syarikat yang beroperasi di Malaysia akan muncul sebagai penerima manfaat terbesar di bawah rangka kerja tarif yang disemak.

“Ini sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan semikonduktor dan kecerdasan buatan (Al) global,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun AmInvest berkata, beberapa cabaran masih wujud seperti industri sarung tangan getah, perabot dan sebahagian industri minyak sawit akan terus tertakluk kepada tarif timbal balik sebanyak 19 peratus. 

AmInvest berkata, terdapat penemuan menarik hasil analisis tersebut yang antara lain mendapati Malaysia tidak mengeksport 1,082 daripada 1,711 baris tarif yang baharu dikecualikan ke Amerika Syarikat.

Katanya, barangan itu kebanyakannya berkaitan dengan produk farmaseutikal.

Perintah Eksekutif (EO) 14360, yang ditandatangani pada 14 November 2025, telah memperluaskan lagi senarai produk yang dikecualikan RT di peringkat global, walaupun Malaysia tidak memperoleh manfaat material daripadanya.

“Kami mendapati bahawa kira-kira 63.7 peratus daripada item yang dikecualikan RT di bawah EO tersebut ditawarkan kepada semua rakan dagang AS, termasuk yang telah diperoleh Malaysia di bawah ART,” katanya. 

Melangkah ke hadapan, AmInvest berkata, sama ada Amerika Syarikat akan memberikan lebih banyak pengecualian RT kepada rakan dagangnya bergantung kepada dinamik inflasi AS pada masa depan.

“Namun begitu, memandangkan kami menjangkakan proses penyah-inflasi pada 2026 susulan kelemahan pasaran buruh AS, adalah munasabah untuk menjangkakan lebih banyak pengecualian RT bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan tekanan kos,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN