Jualan perdagangan borong dan runcit cecah RM160.9 bilion setakat Oktober - Utusan Malaysia

Jualan perdagangan borong dan runcit cecah RM160.9 bilion setakat Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit negara berkembang kukuh sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun dengan nilai jualan mencecah RM160.9 bilion setakat Oktober ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan keseluruhan itu didorong oleh prestasi semua subsektor, khususnya sektor perdagangan runcit, borong dan kenderaan bermotor.

“Subsektor perdagangan borong mencatatkan RM71.2 bilion dengan peningkatan 7.3 peratus tahun ke tahun, manakala subsektor perdagangan runcit pula mencapai pertumbuhan kukuh dengan jualan sebanyak RM69.3 bilion dan meningkat 6.8 peratus.

“Selain itu, subsektor kenderaan bermotor merekodkan jualan RM20.4 bilion dengan pertumbuhan sebanyak 8.2 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lain-lain pengkhususan jualan borong turut meningkat 4.9 peratus mencecah RM25.9 bilion, dipacu oleh kenaikan jualan petrol, diesel dan pelincir; baja dan produk agrokimia, sisa logam dan bukan logam serta bahan boleh kitar semula.

Selain itu, jualan borong makanan, minuman dan tembakau menunjukkan prestasi baik dengan peningkatan 9.2 peratus kepada RM14.3 bilion, didorong faktor jualan yang lebih tinggi bagi produk tenusu, daging, ayam, telur dan sayur-sayuran.

“Bukan itu sahaja, jualan borong barangan isi rumah juga berkembang 8.4 peratus kepada RM15.2 bilion, disokong oleh permintaan yang tinggi terhadap produk farmaseutikal, pakaian, perabot rumah dan barang kemas.

“Selain itu, jualan borong jentera, peralatan dan bekalan mencatatkan peningkatan sebanyak 10.0 peratus kepada RM5.9 bilion dengan permintaan berterusan untuk perkakasan komputer, perisian dan periferal,” katanya.

Mengulas lanjut perkembangan itu, Mohd. Uzir berkata, jualan runcit di kedai bukan pengkhususan mencatat peningkatan 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM27.2 bilion, hasil pacuan pertumbuhan jualan di kedai runcit, pasar raya, pasar mini dan gedung serbaneka.

Prestasi itu turut disokong oleh penebusan berterusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang menggalakkan perbelanjaan isi rumah sepanjang bulan tersebut.

“Jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat 5.2 peratus kepada RM14.3 bilion, disokong oleh permintaan kukuh bagi produk farmaseutikal, pakaian, minyak wangi dan kosmetik.

“Jualan runcit bahan api kenderaan pula mencatatkan peningkatan 7.2 peratus tempoh sama kepada RM6.4 bilion, manakala jualan runcit peralatan komunikasi dan maklumat berkembang 6.5 peratus, disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap peralatan telekomunikasi,” katanya.

Pada masa sama, sektor kenderaan bermotor mengekalkan momentum positif dengan jualan meningkat 9.5 peratus kepada RM10.8 bilion, selari peningkatan pendaftaran kenderaan yang mencecah 81,413 unit berbanding 75,044 unit pada Oktober tahun lalu.

Selain itu, jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor turut berkembang 6.2 peratus kepada RM5.4 bilion, manakala penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor meningkat 9.1 peratus kepada RM2.9 bilion.

Dalam perkembangan lain, jualan runcit dalam talian terus mencatat prestasi positif dengan pertumbuhan 8.7 peratus, manakala transaksi pembayaran digital mencatat pengukuhan ketara.

Tambah Mohd. Uzir, transaksi e-money melonjak 66.9 peratus kepada RM26.4 bilion, sementara platform Real-time Retail Payments (RPP) merekodkan jumlah transaksi RM344.1 bilion.

“Transaksi FPX pula meningkat 27.6 peratus kepada RM40.7 bilion, manakala kad kredit dan debit masing-masing berjumlah RM19.4 bilion dan RM13.7 bilion.

“Sektor Perdagangan Borong dan Runcit merekodkan peningkatan 5.7 peratus, dipacu terutamanya oleh subsektor kenderaan bermotor (7.2 peratus), perdagangan borong (6.7 peratus) dan perdagangan Runcit (4.6 peratus). Indeks volum terlaras musim turut pulih dengan pertumbuhan 0.8 peratus bulan ke bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN