Dimina, tampil ciri hijau dalam gaya hidup moden

Dimina, tampil ciri hijau dalam gaya hidup moden

DIMINA dilengkapi dengan beberapa ciri hijau yang direka untuk kehidupan moden dan mampan seperti sistem solar PV, set kunci digital dan suis hijau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIMINA yang dibangunkan S P Setia Bhd (Setia) menawarkan peluang yang baik kepada pembeli rumah untuk memiliki rumah teres dua tingkat pegangan bebas dalam perbandaran bersepadu Setia Alam, Shah Alam.

Pembangunan tersebut adalah fasa keempat dan terakhir siri Musika Homes (Fasa 4A) merangkumi 66 unit rumah teres, terdiri daripada dua pilihan susun atur yang luas iaitu jenis F1 dari 2,398 kaki persegi dan jenis F2 dari 2,420 kaki persegi dengan harga bermula dari RM1,252,000.

Setia berkata, Fasa 4B berikutnya pula akan menampilkan 34 unit dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan siri Dimina berjumlah RM130 juta.

Naib Presiden Eksekutif Setia, Razly Mohammad Rus berkata, syarikat teruja untuk memperkenalkan fasa terakhir Musika Homes, berikutan sambutan menggalakkan pada fasa awalnya.

“Dimina adalah pintu masuk kepada gaya hidup yang ditakrifkan oleh alam semula jadi, kemudahan dan komuniti, kini dipertingkatkan dengan ciri-ciri Setia eGreen Living kami.

“Kami berharap dapat mengalu-alukan para penduduk untuk menikmati pengalaman ekosistem Setia yang lengkap dan kami yakin fasa terakhir ini akan diterima dengan sambutan baik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, fasa-fasa sebelumnya Musika Homes iaitu tiga fasa pertama Altora, Barola dan Caprica mendapat sambutan baik apabila dua fasa pertama habis dijual sepenuhnya dan fasa ketiga mencapai kadar jualan 93 peratus.

“Permintaan yang konsisten ini menekankan keyakinan pembeli terhadap jenama Setia dan nilai perbandaran Setia Alam,” jelasnya.

Perbandaran ini menawarkan akses melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE)-Setia Alam Link yang dibina khas dan berdekatan dengan destinasi utama seperti Shah Alam, Subang, Damansara, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Selaras dengan komitmen ESG kumpulan yang kukuh, Dimina dilengkapi dengan beberapa ciri hijau yang direka untuk kehidupan moden dan mampan.

Setia berkata, unit di Dimina menggalakkan kecekapan tenaga dan pengurangan jejak karbon melalui sistem solar fotovoltaik (PV) yang menjanakan mata elektrik am dan sistem pemanasan air solar.

“Amalan pembinaan mampan disokong melalui Sistem Bangunan Berindustri (IBS), manakala kesejahteraan penduduk diutamakan dengan sistem penjagaan udara dalaman termaju yang memantau dan mengawal kualiti udara dalaman.

“Ciri pintar seperti set kunci digital dan suis hijau akan membolehkan kawalan satu klik bagi semua pencahayaan umum dan kotak dropbox Box 366 untuk penghantaran selamat tanpa sentuhan,” ujaranya.

Tambahnya, dengan rekod prestasi jualannya yang baik dan persekitaran Setia Alam yang serba lengkap, Dimina Fasa 4A adalah peluang terakhir bagi pembeli rumah untuk mendapatkan rumah keluarga yang luas di salah satu perbandaran beraspirasi dan mampan di daerah ini.

Berdasarkan visi Setia dalam membina komuniti yang mampan dan memperkayakan gaya hidup, syarikat berkata, pembangunan ini lebih daripada sekadar rumah, malah ia menjanjikan perkembangan maju untuk generasi masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN