Public Bank catat untung sebelum cukai RM7.1 bilion

Public Bank catat untung sebelum cukai RM7.1b bagi 9 bulan pertama 2025

public bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM7.1 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun 2025, mewakili pertumbuhan 3.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham berjumlah RM5.35 bilion. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, kumpulan terus mencatat pertumbuhan konsisten dalam pinjaman dan deposit di sebalik suasana mencabar. 

“Kumpulan terus menyampaikan prestasi yang stabil sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, disokong oleh pengurusan proaktif kos dana dan pertumbuhan sinergi dalam pendapatan bukan faedah. 

“Ketahanan kumpulan turut tercermin dalam pulangan bersih ekuiti yang sihat iaitu 12.6 peratus, menandakan asas kukuh dan keupayaan kumpulan untuk mengekalkan penciptaan nilai,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, pendapatan bersih faedah dan pembiayaan meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada RM8.45 bilion berbanding RM8.24 bilion bagi tempoh yang sama pada 2024.

Pendapatan bukan faedah dan bukan pembiayaan mencatatkan momentum pertumbuhan kukuh dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 19 peratus, terutamanya disumbangkan oleh perniagaan insurans am yang baru diperoleh daripada Kumpulan LPI Capital. 

Ini turut disokong oleh pendapatan pelaburan yang lebih tinggi, pendapatan yuran dan komisen perbankan yang lebih tinggi serta perniagaan pertukaran asing.

Selain itu, nisbah kos kepada pendapatan kekal berada pada tahap efisien iaitu 34.9 peratus dan masih jauh lebih rendah daripada purata industri perbankan sebanyak 44.8 peratus. 

Jumlah kos kredit pula turut kekal rendah pada tiga mata asas sepanjang tempoh tersebut, manakala kualiti aset kekal kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar stabil pada 0.5 peratus serta liputan kerugian pinjaman terus berada pada tahap berhemat sebanyak 154.8 peratus.

Dalam pada itu, sepanjang sembilan bulan pertama berakhir September 2025, jumlah portfolio pinjaman kumpulan berkembang pada kadar tahunan 5.4 peratus kepada RM441.2 bilion. 

Portfolio pinjaman domestik meningkat pada kadar lebih kukuh iaitu 6.1 peratus secara tahunan kepada RM416.0 bilion, mengatasi pertumbuhan pinjaman industri Malaysia sebanyak 4.5 peratus.

Peningkatan itu terutama disumbangkan oleh segmen pembiayaan teras kumpulan, termasuk pembiayaan hartanah kediaman domestik, pembiayaan sewa beli dan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang masing-masing berkembang pada kadar tahunan 5.7 peratus, 11.4 peratus dan 10.7 peratus. 

Segmen pembiayaan utama itu terus menguasai bahagian pasaran domestik yang kukuh masing-masing pada 20.1 peratus, 32.8 peratus dan 18.3 peratus.

Dari segi pembiayaan dana, jumlah deposit pelanggan kumpulan  berkembang pada kadar tahunan 4.0 peratuskepada RM446.2 bilion, disokong oleh pertumbuhan berterusan deposit teras. 

Akaun semasa dan akaun simpanan pula mencatatkan pertumbuhan tahunan 3.9 peratus yang mengukuhkan lagi asas pembiayaan kos rendah kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×