PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas CCS Ventures Sdn. Bhd. (PCCSV) menerima permit penilaian luar pesisir bagi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di kawasan Duyong daripada agensi MyCCUS.
Permit itu adalah yang pertama dikeluarkan di bawah Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 (Akta CCUS 2025) yang mula berkuatkuasa pada 1 Oktober 2025, menandakan pencapaian bersejarah bagi sektor tenaga Malaysia.
Permit penilaian luar pesisir memberi hak eksklusif untuk menjalankan penilaian geologi menyeluruh di medan Duyong, yang terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia.
Ia juga membolehkan kerjasama berterusan antara PCCSV, TotalEnergies dan Mitsui & Co Ltd (MITSUI) di bawah Perjanjian Prinsip Utama (KPA) sejak Julai 2025 bagi mengkaji potensi kawasan itu sebagai tapak penyimpanan karbon.
Ketua Pegawai Eksekutif PCCSV, Emry Hisham Yusoff berkata, permit ini adalah pencapaian penting untuk projek CCS Duyong dan membolehkan syarikat melangkah ke fasa seterusnya dalam kajian teknikal serta penilaian komersial.
“Permit ini membolehkan kerjasama kami dengan TotalEnergies dan MITSUI diteruskan ke fasa seterusnya bagi kajian serta penilaian teknikal, membawa kami lebih hampir ke arah merealisasikan potensi Duyong sebagai tapak penyimpanan karbon dioksida (CO2) yang selamat dan berdaya niaga.
“Ia mengukuhkan komitmen Petronas terhadap pengurangan pelepasan dan penyediaan penyelesaian nyah karbon kepada pelanggan serta rakan kongsi kami,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, semua aktiviti penilaian akan dijalankan sepenuhnya mengikut Akta CCUS 2025 serta Peraturan Permit dan Pelesenan Luar Pesisir 2025, dengan mematuhi undang-undang negara dan garis panduan berkaitan untuk menentukan kebolehlaksanaan teknikal dan komersial tapak tersebut.
KPA membolehkan PCCSV, TotalEnergies dan MITSUI meletakkan asas bagi fasa Reka Bentuk Kejuruteraan Hadapan (FEED) untuk kawasan Duyong.
Perkongsian ini membuka laluan kepada penyelesaian CCS bersepadu pertama seumpamanya untuk industri di rantau Asia Pasifik.
Petronas berkata, perjanjian ini dibina berasaskan inisiatif yang digariskan dalam Perjanjian Pembangunan CCS yang ditandatangani oleh Petronas, TotalEnergies dan MITSUI pada tahun 2023.
“Penganugerahan permit ini menandakan langkah penting dalam membangunkan industri penangkapan dan penyimpanan karbon di Malaysia, sekali gus meletakkan negara sebagai peneraju serantau dalam kerjasama rentas sempadan CO2 dan peralihan tenaga yang bertanggungjawab.
“Pencapaian ini mengukuhkan kepimpinan Petronas dalam teknologi rendah karbon serta komitmennya melalui PCCSV untuk memajukan CCS sebagai laluan utama ke arah sifar bersih menjelang 2050, sejajar dengan matlamat iklim serantau dan global,” ujarnya. – UTUSAN









