PETALING JAYA: Sektor pembinaan negara terus menunjukkan momentum kukuh apabila merekodkan pertumbuhan 10.6 peratus dengan nilai kerja keseluruhan mencecah RM45.4 bilion pada suku ketiga tahun ini, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi memberangsangkan itu dipacu oleh subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman yang masing-masing meningkat 15.3 peratus dan 11.6 peratus.
Ujarnya, subsektor bangunan bukan kediaman turut meningkat 10.0 peratus, manakala subsektor kejuruteraan awam mengekalkan pertumbuhan positif 8.9 peratus.
“Daripada keseluruhan nilai kerja RM45.4 bilion itu, subsektor kejuruteraan awam kekal penyumbang terbesar sebanyak RM16.5 bilion (36.4 peratus), diikuti bangunan bukan kediaman RM12.9 bilion (28.5 peratus), bangunan kediaman RM10.5 bilion (23.0 peratus), dan aktiviti pertukangan khas RM5.5 bilion (12.1 peratus).
“Sektor swasta kekal sebagai pemacu utama, menyumbang 65 peratus atau RM29.5 bilion daripada jumlah keseluruhan, dengan pertumbuhan dua digit 13.1 peratus, didorong projek bangunan bukan kediaman dan kediaman.
“Sektor awam pula menyumbang 35 peratus (RM15.9 bilion) dengan kadar pertumbuhan 6.1 peratus, didorong subsektor pertukangan khas (23.9 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar nilai kerja pembinaan, berjumlah RM10.5 bilion (23.1 peratus), diikuti Johor (RM8.2 bilion; 18.0 peratus), Sarawak (RM4.9 bilion; 10.7 peratus) dan Wilayah Persekutuan (RM4.7 bilion; 10.3 peratus).
Secara keseluruhan bagi tempoh tiga suku pertama 2025, nilai kerja pembinaan mencapai RM132.2 bilion, meningkat 13.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi positif dalam semua subsektor, terutamanya dalam aktiviti pertukangan khas (23.5 peratus) dan bangunan kediaman (17.0 peratus). – UTUSAN










