KUALA LUMPUR: Lebih 500 reruai khas disediakan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa untuk mempamerkan pelbagai jenama serta produk sempena Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke-20 (MIBS 2025) yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 4 hingga 6 Disember ini.
Pameran ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS), Persekutuan Persatuan Barangan Am & Pakaian Tekstil Malaysia dan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), dengan pengiktirafan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ia juga disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dewan Pembangunan China Asean Malaysia serta Dewan Perniagaan dan Industri Hakka Malaysia.
Pengurusan penganjuran dikendalikan oleh ES International Event Management Sdn. Bhd.
Presiden PROMAS, Datuk Chong Chong Tik berkata, pameran tahun ini menampilkan enam kategori utama meliputi produk penjagaan kesihatan dan kecantikan, peralatan pintar, makanan dan minuman serta budaya teh, fesyen dan tekstil, hiasan rumah dan hadiah, selain produk pengguna.
Menurutnya, kategori kesihatan dan perubatan tradisional Cina diberi penekanan susulan kesedaran global terhadap kepentingan imuniti pascapandemik.
“Kami menjemput delegasi perubatan tradisional dari Yinchuan, Kunming, Guangxi Zhuang, Hong Kong serta Cangzhou, Hebei, yang merupakan pusat herba tradisional terbesar China. Melalui perkongsian ini, kami mahu masyarakat lebih memahami keberkesanan perubatan tradisional dalam meningkatkan imuniti,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, lebih 45 syarikat produk elektronik dan pintar dari Shenzhen turut mengambil bahagian menerusi penyertaan Persatuan Perniagaan Terminal Pintar Shenzhen dan Persatuan Pembangunan Perdagangan Luar Shenzhen.
“Penyertaan terbesar tahun ini datang dari wilayah Zhejiang dengan lebih 130 reruai, selain pempamer dari Shenzhen, Guangxi serta sektor budaya, filem, televisyen, tekstil tradisional, alat tulis, perabot dan barangan pengguna.
Chong Tik turut mengumumkan pengenalan Zon Usahawan Khek (Hakka) buat julung kali di bawah penyertaan Malaysia, hasil kerjasama dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Hakka Malaysia (Kek Lian), bagi merancakkan kerjasama ekonomi antara usahawan Hakka Malaysia dan China.
Sempena ulang tahun ke-20 penganjuran, kerajaan Zhejiang turut bersetuju menyediakan dana sokongan kepada persatuan Malaysia yang membawa ahli menghadiri sesi B2B, dengan kadar RM1,000 bagi 20 peserta dan RM2,000 bagi 25 hingga 30 peserta.
Dana ini akan membantu operasi persatuan dan menggantikan subsidi hotel atau pengangkutan seperti sebelum ini. – UTUSAN










