GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid sekali lagi didesak supaya direhatkan daripada semua jawatan susulan pendedahan berkaitan pengurusan dana zakat dan urus tadbir institusi agama di negeri ini.
Aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berkata, desakan itu dibuat bagi memastikan siasatan berjalan secara telus serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi agama Islam.
Menurutnya, beberapa pendedahan termasuk melibatkan pembelian tanah bernilai kira-kira RM9.8 juta menggunakan dana zakat menimbulkan persoalan serius yang perlu dijawab oleh pihak berkaitan.
“Sekurang-kurangnya, beliau perlu direhatkan daripada jawatan bagi memberi ruang kepada siasatan dijalankan tanpa sebarang gangguan. Jika tiada tindakan diambil, kita bimbang wujud campur tangan tertentu yang boleh menjejaskan integriti siasatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang menyiasat kemungkinan berlakunya salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Susulan itu, Mohamad telah hadir ke pejabat SPRM Isnin lalu dan semalam bagi memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna kuasa yang dikaitkan dengannya.
Chegubard berkata, hari ini, pihaknya turut melancarkan sebuah booklet (buku kecil) yang mengandungi himpunan pendedahan berkaitan isu tersebut bagi membolehkan orang ramai menilai sendiri maklumat yang dikumpulkan.
“Kami kecewa kerana Timbalan Ketua Menteri tidak berani menerima booklet ini malah tiada wakil dari pejabat beliau berani untuk bertemu kami hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, isu berkenaan sebelum ini telah dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Katanya, antara perkara yang menjadi perhatian adalah pembelian tanah menggunakan wang zakat serta dakwaan melibatkan kepentingan individu tertentu.
“Perkara ini melibatkan kepentingan umat Islam dan perlu dijelaskan secara tuntas bagi mengelakkan salah faham serta menjejaskan kepercayaan masyarakat,” katanya. – UTUSAN











