Bekas tentera ceroboh mes pegawai kanan didenda RM1,500

Bekas tentera ceroboh mes pegawai kanan didenda RM1,500

ALIF Duie didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah menceroboh masuk ke Mes Pegawai Kanan, Kem Terendak Sabtu lalu. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas tentera didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh masuk Mes Pegawai Kanan, Kem Terendak, Sungai Udang, Sabtu lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap Alif Duie, 39, selepas meneliti fakta kes serta mempertimbangkan rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan Mes Perwira 94 HAT Kem Terendak dalam daerah Melaka Tengah tanpa kebenaran yang sah daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi pada 28 Februari 2026 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pencerobohan disedari seorang koperal tentera ketika melakukan rondaan sebelum terlihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di mes berkenaan.

Tertuduh mengaku menyimpan kunci bilik pegawai kanan sejak tamat perkhidmatan sebagai anggota tentera pada 2022.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam Amritpal Singh memohon hanya dikenakan denda rendah kerana anak guamnya merupakan bekas tentera yang berkhidmat selama 12 tahun sebelum berhenti pada 2022.

Tertuduh juga perlu menjaga tiga anak yang masih kecil berusia lapan hingga 12 tahun dan hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara keluarga, selain sudah insaf.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN