Mekeria dari dapur Felda ke pasaran antarabangsa

Mekeria dari dapur Felda ke pasaran antarabangsa

MOHAMAD Farish Shahin Mohd Fairus (kiri) bersama ibunya, Suhaillah Mohamad ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGALANYA bermula dari dapur kecil di Felda Kerteh 3, Terengganu, tempat seorang ibu, Suhailah Mohamad menguli ubi keledek untuk dijadikan kuih keria bagi menambah pendapatan keluarga. 

Minat dan usaha kecil itu akhirnya melahirkan empayar perniagaan apabila anaknya, Mohamad Faris Shahin Mohd. Fairus, 27, menyambung legasi tersebut di bawah jenama Mekeria.

Daripada sekadar jualan kampung, Mekeria kini beroperasi di bawah KVG Juta Sdn. Bhd., lengkap dengan kilang pengeluaran bertauliah serta pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MESTI) dan sijil halal, sekali gus membuktikan kuih tradisional juga mampu menembusi pasaran moden dan antarabangsa.

Jenama kuih keria sejuk beku dari Terengganu itu menjadi contoh terbaik bagaimana seorang usahawan muda mengubah situasi bermasalah kepada peluang perniagaan menguntungkan.

Menurut Faris, perjalanan Mekeria bermula selepas dia sekeluarga tidak dapat menikmati kuih keria viral di Melaka kerana kehabisan jualan dan rasa itu bertukar menjadi idea baharu. 

“Sebaik sahaja pulang dari kampung ayah di Melaka, kami singgah ke Cameron Highlands dan membeli satu pek ubi keledek. Kami cuba buat sendiri di rumah, kemudian bagi jiran dan keluarga rasa. Mereka semua galakkan kami jual.

“Dorongan itu membawa kami untuk memulakan jualan kecil-kecilan melalui tempahan daripada aplikasi WhatsApp, sebelum membuka gerai tepi jalan pada 2017.

“Dari situ, saya mula faham kenapa ramai peniaga tak dapat hasilkan banyak kuih keria walaupun ramai pelanggan beratur, rupanya prosesnya sangat renyah dan memerlukan tenaga kerja yang ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Kini, daripada hanya satu pek ubi keledek, Mekeria mampu menghasilkan lebih 15,000 biji kuih keria sehari, bersamaan satu tan pengeluaran harian dengan bantuan lebih 40 pekerja tetap.

“Dulu semuanya manual, tapi sekarang kami beralih kepada penggunaan mesin dan sistem sejuk beku moden. Kualiti rasa tetap sama, cuma lebih konsisten dan tahan lama,” jelasnya.

Dalam masa sama, Mekeria turut mengatasi cabaran utama iaitu kekurangan bekalan ubi keledek dengan membuka ladang kontrak sendiri bagi menanam keledek vitato hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Langkah ini bagi memastikan kami tidak lagi bergantung sepenuhnya pada pembekal luar. Bila kawal bekalan sendiri, kualiti lebih terjamin. 

“Selain aspek pengeluaran, saya turut menekankan pentingnya pensijilan dan pematuhan piawaian makanan. 

“Mekeria kini diiktiraf dengan sijil MeSTI dan halal, hasil kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan agensi berkaitan yang membantu proses naik taraf kilang.

“Proses dokumentasi halal memang agak rumit, tapi bila semua bahan utama kita semula jadi seperti ubi keledek, gula melaka dan garam, ia memudahkan urusan. Pensijilan halal ni umpama tiket untuk masuk pasaran lebih besar, termasuk antarabangsa,” ujarnya. 

Dengan sijil halal dan sistem operasi bertauliah, Mekeria kini mula menembusi pasaran antarabangsa apabila menyertai program promosi SME Corp ke Dubai untuk memperkenalkan kuih tradisional Malaysia di pentas global.

Pada awal penubuhan, jenama ini dikenali sebagai Keria Viral Ganu, namun selepas sesi bimbingan bersama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Faris melakukan penjenamaan semula kepada Mekeria, singkatan kepada “Melty Keria”.

“Pernas nasihatkan kami supaya gunakan nama yang lebih komersial dan tidak terikat dengan istilah ‘viral’ atau kenegerian. Jadi kami pilih Mekeria, bunyinya lebih profesional dan sesuai untuk francais. 

“Kini, Mekeria mempunyai lebih 30 ejen jualan aktif di seluruh negara termasuk Terengganu, Kelantan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor, selain turut menjual melalui platform e-dagang dan kedai fizikal seperti Agro Bazaar Mall dan Payang Mall.

“Bagi saya, kejayaan Mekeria tidak datang dalam sekelip mata. Saya sendiri melalui pelbagai cabaran termasuk kekangan tenaga kerja, modal dan proses mendapatkan sijil. Namun, semua itu menjadi pengalaman berharga untuk mengukuhkan jenama tempatan.

“Dulu saya tak sangka kuih keria boleh pergi sejauh ni. Tapi saya percaya kalau kita buat dengan jujur dan ada sistem, makanan tradisional pun boleh jadi produk industri,” katanya.

Selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, Mekeria juga melatih anak muda tempatan dalam bidang pengeluaran makanan sejuk beku.

“Kami mahu tunjuk pada belia, tak semestinya perlu hasilkan produk moden sahaja untuk berjaya, kuih tradisional juga ada nilai besar jika dijenamakan betul,” ujarnya.

Selepas berjaya menawan pasaran tempatan, Mekeria kini menyasarkan untuk menembusi pasaran Singapura, Brunei dan China, dengan sasaran eksport dalam tempoh dua tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN