Malakoff umum prestasi Q3 FY2025 dengan momentum projek yang terus mengukuh

Malakoff umum prestasi Q3 FY2025 dengan momentum projek yang terus mengukuh

malakoff
SYAHRUNIZAM SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff)  mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga berakhir 30  September 2025 (Q3 FY2025).

Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM1,690.5 juta, iaitu  23.8 peratus lebih rendah berbanding RM2,219.2 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Penyusutan ini adalah sebahagian besarnya berpunca daripada pembayaran tenaga yang lebih rendah  daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (“TBP”) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (“TBE”)  berikutan penurunan Harga Arang Batu Digunapakai (“ACP”), serta pembayaran tenaga yang  lebih rendah daripada Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (“SEV”) susulan penurunan daripada  kadar pengagihannya. 

Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (“PATMI”) bagi Q3 FY2025 adalah  RM28.2 juta, berbanding RM86.9 juta pada Q3 FY2024, yang menunjukkan penurunan  sebanyak 67.5 peratus.

Penyusutan ini didorong oleh kehilangan pembayaran kapasiti TBE yang  berpunca daripada kebocoran paip turbin stim serta margin bahan api negatif di TBP berikutan  penurunan harga arang batu.

PATMI yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu  adalah lebih tinggi berikutan pengiktirafan tuntutan insurans TBE bagi sebahagian daripada asetnya. P

restasi suku ini bagaimanapun diimbangi oleh pengembalian peruntukan nilai bersih  boleh direalisi untuk inventori arang batu, selaras dengan aliran pergerakan ACP yang  menggalakkan. 

Subsidiari Kumpulan, Alam Flora Sdn. Bhd. (“Alam Flora”), turut mencatatkan perkembangan  positf dalam perniagaan konsesi dan bukan konsesi, berikutan peningkatan jumlah sisa yang  dikutip dan diuruskan.

Hasil bagi suku semasa mencatatkan penyusutan kecil sebanyak satu peratus  manakala PATMI meningkat sebanyak tiga peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Momentum positif segmen penyelesaian alam sekitar ini dijangka dapat mengimbangi prestasi  yang lebih mencabar dalam perniagaan tenaga Kumpulan.

Sejajar dengan perkembangan ini,  Alam Flora akan terus meneroka peluang konsesi baharu dan memperkukuh tumpuannya  dalam perniagaan sisa terjadual. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, Malakoff terus mencatat kemajuan yang konsisten dalam mengukuhkan peranannya dalam peralihan  tenaga negara.

“Peralihan Malaysia ke arah tenaga boleh baharu (RE) semakin berkembang dan kami  berbesar hati melihat Malakoff menyumbang secara bermakna ke arah agenda ini.

“Surat  Pemberitahuan Kerajaan bagi projek solar 470 MW kami di Larut dan Matang merupakan  pencapaian penting buat Malakoff.

“Ia bakal menjadi pembangunan solar tapak tunggal terbesar  di negara ini yangdilaksanakan bersama Solarvest Holdings Berhad di bawah Perjanjian  Pembelian Tenaga Solar selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad. 

“Peranan kami turut diperluas di Malaysia Timur melalui Perjanjian Pembelian Tenaga selama  30 tahun dengan Syarikat SESCO Berhad bagi projek solar 100 MW di Bintulu, Sarawak.

Selain  menyokong agenda RE Sarawak, projek ini dijangka membawa manfaat ekonomi yang lebih  meluas termasuk penciptaan pekerjaan, pembangunan bakat dan peningkatan infrastruktur  tempatan.

“Di samping itu, Perjanjian Tempahan dengan Mitsubishi Power Ltd. membolehkan  kami mendapatkan peralatan kritikal lebih awal, memastikan pembangunan loji janakuasa  turbin gas kitaran gabungan 1,400 MW yang dirancang dapat diteruskan dengan lebih yakin  walaupun berdepan tekanan rantaian bekalan global. 

“Kedua-dua projek ini mengukuhkan tonggak Penyelesaian Hijau kami dan memperlihatkan  hala tuju Malakoff dalam menerajui inisiatif peralihan tenaga negara. Usaha ini mencerminkan  skala dan aspirasi kami untuk memenuhi keperluan tenaga jangka panjang negara. 

“Dari tonggak Penyelesaian Hijau, projek Waste-to-Energy (“WTE”) kami di Sungai Udang terus  mencatat kemajuan, melalui pemeteraian kontrak Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan  pada 13 November 2025.

“Ini menandakan peralihan rasmi projek tersebut ke fasa pelaksanaan  dan membawa kami selangkah lebih dekat ke arah merealisasikan kemudahan WTE berskala  besar pertama Malakoff.

“Dengan memanfaatkan sinergi bersama Alam Flora, Malakoff berada  pada kedudukan yang strategik untuk membuka aliran hasil baharu dan meningkatkan nilai  mampan kepada para pemegang taruh.

“Alam Flora baru-baru ini turut memperkukuh  peranannya sebagai penyedia perkhidmatan alam sekitar terkemuka apabila menerima  Anugerah Kecemerlangan Kelestarian Alam Sekitar sempena Majlis Makan Malam Ulang  Tahun ke-20 Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia. Pencapaian ini mencerminkan kemajuan  nyata dalam mempertingkat kebersihan bandar dan mengoptimumkan amalan pengurusan  sisa,” kata Syahrunizam. 

Sempena ulang tahun ke-50 Malakoff, Kumpulan terus memperkukuh perniagaan terasnya  sambil mempercepat peralihan ke arah penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan mampan. 

Dengan pengiktirafan terkini di Anugerah Tenaga Kebangsaan 2025 dan Anugerah Tenaga  ASEAN 2025, Malakoff mengukuhkan komitmennya terhadap agenda peralihan tenaga negara  dan aspirasinya untuk membina portfolio tenaga yang lebih berdaya tahan dan memacu masa  hadapan yang selari dengan amalan yang lebih lestari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN