PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.85 sesaham, didorong oleh momentum pelancongan yang menggalakkan dan peningkatan trafik di aset utama kumpulan.
Bank pelaburan berkata, dorongan itu diterima daripada aset utama seperti Pavilion Kuala Lumpur (KL) dan Pavilion Elite, sekali gus memperkukuh momentum pertumbuhan syarikat.
“Namun begitu, lonjakan harga saham baru-baru ini menjadikan profil risiko-pulangan Pavilion REIT kelihatan kurang menarik pada masa ini.
“Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, Pavilion KL dan Pavilion Elite menyumbang kira-kira 65 peratus daripada jumlah hasil Pavilion REIT.
“Kami menjangkakan prestasi kukuh ini akan berterusan ke suku keempat 2025, disokong oleh peningkatan perbelanjaan musim perayaan hujung tahun serta cuti panjang,” katanya dalam nota penyelidikan.
HLIB Research berkata, menjelang 2026, firma itu percaya Pavilion REIT akan mendapat manfaat daripada inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pelaksanaan pengecualian visa dua hala antara Malaysia dan China.
“Unjuran positif ini turut disokong oleh peningkatan kukuh dalam ketibaan pelancong, yang meningkat 8.1 peratus tahun ke tahun (bagi tempoh Januari hingga Ogos, dengan pelancong China melonjak 22.2 peratus.
“Kami turut menjangka panduan pihak pengurusan mengenai semakan kadar sewaan antara pertumbuhan rendah hingga sederhana satu angka selaras dengan jangkaannya, sekali gus membantu mengekalkan pertumbuhan yang stabil,” katanya.
Pavilion REIT dijangka mengekalkan prestasi mapan sepanjang baki tahun kewangan 2025 dan 2026.
Pavilion Bukit Jalil pula terus menunjukkan prestasi cemerlang dengan kadar penghunian kini pada 90 peratus, dijangka meningkat kepada 95 peratus menjelang akhir tahun, disokong oleh barisan penyewa baharu yang kukuh khususnya daripada peruncit China.
Sementara itu, kadar penghunian runcit turut meningkat kepada 94 peratus pada suku ketiga 2025 berbanding 87 peratus pada suku kedua, didorong oleh Da Men Mall yang kini disewa sepenuhnya berbanding hanya 33 peratus sebelum ini.
Selain itu, kadar penghunian menara pejabat Pavilion Tower juga meningkat kepada 82 peratus daripada 75 peratus pada suku sebelumnya, manakala nisbah hutang kepada ekuiti meningkat kepada 41 peratus. – UTUSAN










