Bahulu telur itik Batu Kikir dapat sambutan

Bahulu telur itik Batu Kikir dapat sambutan

NURUL Shahira Mazli mengambil alih peniagaan bahulu telur itik keluarganya setelah menamatkan pengajian di Mesir pada 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dari sebuah ujian keluarga, Pemilik Ramsis Enterprise, Nurul Shahira Mazli, 28, membuktikan setiap kesukaran mampu menjadi titik mula kejayaan dan kini menjadi pengeluar jenama terkenal Tokey Bahulu Itik. 

Nurul Shahira berkata, dia terus bangkit daripada kesusahan itu dan membuktikan semangat keusahawanan yang ketika itu masih menuntut di Mesir dalam bidang Ulum Islamiyah, Jabatan Syariah pada 2018. 

“Kami kehilangan sumber pendapatan, sementara saya dan kakak masih belajar di universiti. Ibu terpaksa berfikir bagaimana untuk teruskan hidup. Dari situlah tercetusnya idea untuk berniaga bahulu sabut.

“Saya menerima khabar duka apabila ayah disahkan lumpuh selepas menjalani pembedahan tulang belakang dan bermula dari situ kami sekeluarga mula bangkit mengusahakan perniagaan bahulu dari telur itik yang kini sudah mula dikenali ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kedai itu kini beroperasi di Batu Kikir, Negeri Sembilan dan premisnya turut dikenali sebagai Tokey Bahulu Telur Itik menjadi tumpuan ramai pencinta kuih tradisional dari seluruh negara.

Dengan modal kecil, ibunya, Siti Esah Baharudin memulakan jualan di Port Dickson sebelum berpindah semula ke kampung halaman di Batu Kikir. 

“Proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bahulu ini mengambil masa hampir tiga tahun untuk mendapatkan rasa dan tekstur yang sempurna,” katanya. 

Nurul Shahira berkata, ketika di Mesir, dia sudah mula berjinak dengan dunia perniagaan dengan menjual donut buatan sendiri kepada pelajar Malaysia bangun seawal pukul 3 pagi untuk menguli doh. 

“Pengalaman itu menjadi asas kekuatan saya menguruskan perniagaan apabila pulang ke tanah air,” katanya.

Pada 2021, setelah menamatkan pengajian, dia mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia dan mengambil alih sepenuhnya perniagaan keluarga.

“Saya nak tinggal dekat dengan ibu ayah dan mereka perlukan perhatian. Dari situ saya nekad jadikan bahulu sabut telur itik ini sebagai legasi keluarga,” tambahnya.

Pada peringkat awal, Shahira mengakui perjalanan mereka bukan mudah kerana tanpa modal besar, mereka bermula dengan seadanya.

“Poster pun kami tak mampu buat masa tu namun, sedikit demi sedikit, orang mula kenal. Kami juga dibantu oleh Baitulmal untuk tambah baik kawasan perniagaan,” jelasnya.

Satu peristiwa mencetuskan perubahan besar apabila pada 2022, ketika musim raya, mereka berjaya menjual 700 batang lemang dalam tempoh 24 jam, hanya dengan tenaga dua orang.

Dari situ, Tokey Bahulu Itik semakin berkembang dan memperkenalkan pelbagai variasi produk seperti bahulu sabut telur itik (RM28), bahulu sabut telur itik pandan (RM28), bahulu sabut telur itik inti Biscoff (RM22), bahulu sabut telur itik inti pistachio (RM30) bahulu sabut telur ayam (RM18), bahulu sabut telur ayam cip coklat (RM22), bahulu terbabas (RM10), bahulu misu (RM17), karipap pusing sejuk beku (RM11) dan tart nenas (RM15 / RM30).

Produk ‘bahulu terbabas’ yang pada awalnya dianggap cacat rupa, kini menjadi kegemaran pelanggan sehingga muncul slogan unik ‘Lagi Golap Lagi Sodap’, menggambarkan keaslian bahulu yang dibakar 100 peratus secara manual menggunakan sabut kelapa dan pasir.

Dalam pada itu, Nurul Shahira menyasarkan jualan melebihi 15,000 bekas bahulu tahun ini.

Katanya, kunci kejayaan bukan terletak pada kesempurnaan, tetapi pada keberanian untuk bermula.

“Mulakan sahaja tanpa tunggu sempurna. Jangan berhenti belajar, sebab dalam perniagaan ni, kita bukan sekadar kejar kaya tapi jalankan amanah sebagai hamba Allah,” katanya.

Antara cabaran utama Tokey Bahulu Itik ialah mengekalkan bekalan telur itik berkualiti, cuaca yang menjejaskan pengeluaran serta mendidik pelanggan tentang keunikan bahulu tradisional.

Namun, Nurul Shahira tidak melihat pesaing sebagai ancaman namun, persaingan itu perlu. 

“Kami memilih untuk kekal dengan identiti ‘Bahulu Telur Itik’. Pesaing adalah guru bukan musuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN