PENGENAAN tarif oleh Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 0.38 mata peratusan (ppt) pada 2025, terdiri daripada kesan langsung 0.07 ppt dan kesan tidak langsung 0.31 ppt.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, kesan tidak langsung dijangka lebih ketara kerana lebih 80 peratus perdagangan Malaysia adalah dengan negara selain AS, termasuk China yang memainkan peranan besar dalam rantaian bekalan global.
“Sehubungan itu, eksport Malaysia dijangka susut 0.71 ppt, manakala import berkurang 0.28 ppt tahun ini,” katanya.
Bagi 2026, impak penuh tarif dijangka lebih besar dengan pertumbuhan KDNK lebih rendah sebanyak 0.76 ppt dan eksport dijangka menyusut 1.38 ppt.
Dalam pada itu, produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang utama eksport Malaysia, merangkumi sekitar 40 peratus daripada jumlah eksport negara.
“AS merupakan pasaran terbesar dengan bahagian 20 peratus bagi produk tersebut pada 2024.
“Malaysia turut menyumbang kira-kira 7.0 peratus kepada pasaran semikonduktor global dan merupakan pengeksport keenam terbesar dunia.
“Setakat Ogos 2025, import semikonduktor oleh AS, termasuk dari Malaysia, masih dikecualikan daripada tarif, tertakluk kepada siasatan keselamatan negara oleh Washington.
“Bagaimanapun, sebarang pemansuhan pengecualian itu boleh menjejaskan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” ujarnya.
Tambahnya, bagi menangani kesan tarif dan ketidaktentuan global, kerajaan menubuhkan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai platform penyelarasan seluruh kerajaan.
“NGCC berperanan menilai dan menyelaras tindak balas terhadap gangguan perdagangan, kejutan tarif dan halangan bukan tarif, selain merangka strategi komprehensif bagi melindungi daya saing industri tempatan.
“Pada Mei lalu, kerajaan turut mengenal pasti beberapa langkah segera untuk menyokong syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar dapat menyesuaikan strategi perniagaan susulan kadar tarif baharu yang dikenakan,” katanya. – UTUSAN