PETALING JAYA: Belanjawan 2026 bakal meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan memastikan pemodenan serta kelestarian kebajikan keluarga anggota.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, Kementerian Pertahanan dan ATM diperuntukkan sebanyak RM21.74 bilion iaitu meningkat kira-kira 2.92 peratus berbanding RM21.13 bilion pada 2025.
“Belanjawan ini dilihat sebagai kesinambungan komitmen kerajaan Madani yang sentiasa menitikberatkan ATM termasuk dalam peningkatan keupayaan, pembangunan infrastruktur serta penjagaan kebajikan anggota dan keluarga.
“ATM akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan hasrat dan keutamaan Belanjawan 2026 dicapai sekali gus memperkukuh keselamatan persempadanan negara, memantapkan hubungan pertahanan antarabangsa dan menjamin kedaulatan Malaysia terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Nizam berkata, Belanjawan 2026 diyakini dapat memperkukuh ATM dari segi keupayaan operasi, memastikan warga ATM dan keluarga mereka terus menikmati kebajikan sewajarnya.
Katanya, ia selaras dengan aspirasi kerajaan untuk terus memastikan angkatan tentera kekal teguh, berdaya saing dan berprestasi tinggi di pentas antarabangsa. – UTUSAN










