Sijil halal bantu Hajar Wardah tembusi pasaran bukan bumiputera

Sijil halal bantu Hajar Wardah tembusi pasaran bukan bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat makanan tradisional, Hajar Wardah Enterprise mengakui pensijilan rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat mengembangkan pasaran ke kedai-kedai milik bukan bumiputera yang lebih teliti terhadap status halal produk.

Pemilik Hajar Wardah Enterprise dan usahawan makanan tradisional, Nazariah Ismail berkata, dia mengambil langkah proaktif memohon pensijilan halal sejak 2023 apabila menyedari keperluan ini untuk menembusi pasaran yang lebih luas.

“Saya lihat kebanyakan premis milik kaum lain lebih berhati-hati dan hanya menerima produk yang mempunyai sijil halal. 

“Jadi saya memohon pensijilan halal untuk meneroka lebih banyak peluang pasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Nazariah berkata, langkah yang diambil ternyata membuahkan hasil apabila pendapatan bulanan yang sebelum ini kurang daripada RM500 sebulan dan kini meningkat kepada RM1,500 sebulan secara konsisten hasil peningkatan keyakinan pelanggan dan permintaan pasaran.

“Apabila mempunyai sijil halal, pelanggan lebih yakin hendak membeli produk mereka. Kita sendiri pun lebih yakin untuk memasarkan produk,” tambahnya. 

Nazariah yang menjalankan perniagaan di Kampung Bukit, Seri Pilah, Negeri Sembilan itu menawarkan dengan produk-produk tradisional seperti rempeyek, sambal bunga kantan, sambal bilis garing, sambal pucuk ubi, sambal pucuk pegaga dan sambal kentang. 

Harga produk bermula dari RM13 hingga RM22 dan sering menjadi pilihan pelanggan untuk buah tangan, hantaran perkahwinan, majlis korporat dan perayaan terutama perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

“Saya mula berniaga rempeyek sejak 2017 dan sambutan sangat menggalakkan, terutama waktu musim perayaan. Produk kami juga telah diletakkan di beberapa vendor terpilih,” katanya. 

Setakat ini, lebih 2,000 unit produk telah terjual dan Nazariah percaya pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, tetapi menjadi batu loncatan kepada perluasan pasaran yang lebih besar.

“Nasihat saya kepada usahawan lain,  mohonlah sijil halal. Sekurang-kurangnya kita lebih yakin dengan produk sendiri dan insya-Allah produk boleh pergi jauh,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN