SEJAK awal tahun hingga akhir Ogos 2025, ringgit mengukuh kepada RM4.2253 dan merekodkan kenaikan sebanyak 5.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menurut laporan Tinjauan Ekonomi.
Laporan itu berkata, ringgit turut meningkat berbanding beberapa mata wang Asia seperti rupiah Indonesia (8.2 peratus), peso Filipina (4.3 peratus) dan renminbi China (3.4 peratus) sekali gus mengekalkan kedudukan antara mata wang berprestasi terbaik di rantau ini.
“Pengukuhan ringgit didorong oleh kelemahan dolar AS secara meluas berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau yang lain berikutan ketidakpastian dasar perdagangan dan kebimbangan yang semakin meruncing terhadap kemampanan fiskal jangka masa panjang AS.
“Situasi ini telah menjejaskan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi AS,” katanya dalam laporan itu.
Menurut laporan tersebut, faktor luaran terus mempengaruhi prestasi ringgit termasuk ketidakpastian berterusan berhubung perkembangan tarif AS yang memberikan tekanan kepada pasaran kewangan global.
“Selain itu, penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) sebanyak 25 bps kepada julat 4.00 hingga 4.25 peratus pada September 2025 di samping jangkaan dua penurunan menjelang akhir 2025 mengukuhkan lagi nilai ringgit.
“Sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, prestasi ekonomi China yang stabil berpotensi mempengaruhi kadar pertukaran ringgit menerusi sentimen positif pasaran,” katanya.
Pada peringkat domestik, sokongan berterusan terhadap ringgit akan didorong oleh daya tahan ekonomi melalui pelaksanaan pembaharuan struktur dan inisiatif bagi menggalakkan aliran masuk yang berterusan.
Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur. – UTUSAN










