Rakyat cenderung pilih kediaman cekap tenaga, mesra alam

Rakyat cenderung pilih kediaman cekap tenaga, mesra alam

PENGURUS Negara PropertyGuru dan iProperty Malaysia, Kenneth Soh ucapan sempena Sidang Future Built 2025 oleh PropertyGuru dan iProperty Malaysia di sini.UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Rakyat Malaysia kini semakin cenderung memilih kediaman yang cekap tenaga, mesra alam dan inklusif, sejajar dengan peningkatan kesedaran terhadap isu perubahan iklim serta tuntutan gaya hidup lestari.

Pengurus Negara PropertyGuru dan iProperty Malaysia, Kenneth Soh berkata, trend ini menunjukkan perubahan corak permintaan dalam pasaran hartanah tempatan, di mana pembeli semakin menilai aspek kelestarian dan kesejahteraan komuniti sebagai faktor utama dalam keputusan pelaburan hartanah.

“Pemaju pula giat menerapkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam pembangunan mereka melalui bangunan hijau bertauliah, reka bentuk rendah karbon dan konsep bandar pintar,” katanya dalam ucapan sempena Sidang Future Built 2025 oleh PropertyGuru dan iProperty Malaysia di sini.

Berdasarkan Laporan Kelestarian PropertyGuru Malaysia 2024, terdapat beberapa dapatan yang menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu kelestarian dan perubahan iklim dalam pasaran hartanah.

“Sebanyak 83 peratus rakyat Malaysia bersedia untuk membayar lebih bagi rumah yang mempunyai ciri-ciri mampan, seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui, penebat haba yang baik atau sistem penjimatan air.

“Selain itu, sebanyak 77 peratus responden telah mempertimbangkan risiko iklim (contohnya banjir, suhu meningkat, atau kejadian cuaca ekstrem) ketika membuat keputusan membeli atau menyewa hartanah.

“Trend ini menunjukkan perubahan ketara dalam keutamaan pembeli rumah, di mana faktor kelestarian kini menjadi pertimbangan utama bersama harga, lokasi dan kemudahan,” katanya.

Beliau berkata, generasi baharu pembeli, khususnya Generasi Z dan Milenial, kini menjadi pemacu utama pasaran, dengan permintaan terhadap komuniti yang lebih terhubung, mampan dan bermakna.

“Kes perniagaan bagi ESG kini bukan lagi teori. Ia tentang menyelaraskan keuntungan dengan tujuan, daya tahan dengan inovasi, dan pertumbuhan dengan tanggungjawab,” katanya.

Dalam masa sama, pasaran hartanah Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, menurut data terkini daripada PropertyGuru dan iProperty.

Data tersebut turut menunjukkan minat yang konsisten terhadap rumah mampu milik, terutama di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, dengan permintaan tinggi untuk unit bernilai di bawah RM300,000.

Kenneth turut menjangkakan tumpuan terhadap pembangunan mampan dan integrasi ESG akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor hartanah negara dalam tempoh jangka sederhana dan panjang.

“Walaupun kemampuan kewangan kekal menjadi faktor utama, pembeli semakin menilai ketersambungan, kualiti hidup serta aspek kelestarian sebagai ukuran baharu kemampuan sebenar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN