PETALING JAYA: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) komited memperluaskan rangkaian cawangan jenama francais tempatan dan antarabangsa di bawah kumpulannya, termasuk 1901 dan Gloria Jean’s Coffees (GJC), di samping memastikan pensijilan halal sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, Gloria Jean’s Coffees antara jenama kopi antarabangsa yang komited terhadap piawaian halal global Malaysia di bawah pensijilan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekali gus membuka ruang lebih luas untuk menembusi pasaran halal antarabangsa.
Sementara itu, beliau berkata, 1901 pula kini sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal daripada Jakim dan dijangka akan diperoleh menjelang Disember tahun ini.
“Usaha berterusan ini meletakkan Gloria Jean’s Coffees sebagai rangkaian kopi antarabangsa yang halal dan premium yang diterajui oleh usahawan tempatan.
“Dalam pada itu, 1901 kekal sebagai ikon pra-francais makanan segera tempatan yang mudah diakses serta berpotensi besar untuk dikembangkan oleh usahawan baharu,” katanya pada majlis meluncurkan Program SOORIAN di Menara Pernas baru-baru ini.
Beliau berkata, sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Pernas memainkan peranan penting bukan sahaja dalam pembiayaan, tetapi juga dalam pembangunan francaisor dan francaisi, latihan, rundingan, serta peluang pemadanan perniagaan.
Katanya, Pernas turut berperanan memperkukuh daya saing francais tempatan agar mampu menembusi pasaran antarabangsa, di samping menarik minat penyertaan usahawan baharu melalui pelbagai skim dar bimbingan.
Jelasnya, Pernas juga bertanggungjawab memperkukuh jenama francais tempatan dan antarabangsa di bawah kumpulannya, termasuk 1901 dan Gloria Jean’s Coffees yang kini sedang melalui fasa pertumbuhan yang positif.
“1901 merupakan jenama tempatan yang telah bertapak di Malaysia sejak tahun 1997, manakala Gloria Jean’s Coffees pula ialah jenama kopi premium antarabangsa yang mula beroperasi di Malaysia pada tahun 2006.
“Pada masa ini, Gloria Jean’s Coffees mempunyai 46 cawangan di seluruh negara dengan 36 cawangan dimiliki oleh usahawan francaisi tempatan.
“Dalam pada itu, rangkaian outlet 1901 pula berjumlah 28 cawangan yang terletak di beberapa lokasi strategik iaitu 19 cawangan di Lembah Klang dan Kuala Lumpur, masing-masing dua cawangan di Johor, Kedah dan Sabah serta masing-masing satu di Pahang dan Sarawak,” jelasnya.
Sementara itu, sempena Program SOORIAN itu, beliau juga menggalakkan penyertaan usahawan India untuk menerokai peluang sebagai francaisor dan francaisi baharu dalam kedua-dua jenama ini, sejajar dengan usaha memperkasa penyertaan komuniti India dalam industri francais negara. – UTUSAN










