Malaysia jadi hab segmen bernilai tinggi ekosistem EV global

Malaysia jadi hab segmen bernilai tinggi ekosistem EV global

MALAYSIA sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global yang menyokong pembangunan EV.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Malaysia kini berada pada kedudukan kukuh untuk menerajui segmen bernilai tinggi dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) dunia, hasil pelaburan besar syarikat gergasi semikonduktor global seperti Infineon Technologies dan Texas Instruments.

Menurut BIMB Securities Research, pelaburan berimpak tinggi itu bukan sahaja memperkukuh industri semikonduktor negara, malah meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global yang menyokong pembangunan EV.

“Infineon kini sedang membina kilang Silicon Carbide (SiC) Power Fab bernilai AS$7.6 bilion (RM35.8 bilion) di Kulim, Kedah yang bakal menjadi kemudahan terbesar di dunia seumpamanya, khusus untuk aplikasi EV.”

“Sementara itu, Texas Instruments melabur RM14.6 bilion bagi memperluas kemudahan pemasangan dan ujian di Kuala Lumpur serta Melaka, sekali gus mengukuhkan keupayaan negara dalam pengeluaran semikonduktor kuasa dan cip terbenam.

“Pembangunan ini memberi peluang besar kepada pembekal tempatan, syarikat permulaan dan penyedia perkhidmatan untuk disepadukan ke dalam rantaian bekalan global EV. Kesan kluster industri itu juga dijangka menarik pengilang EV, pengeluar bateri dan pembekal automotif Tahap 1 ke Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan.

BIMB Securities berkata, potensi itu boleh mendorong pembentukan koridor mobiliti hijau yang rancak di rantau Asia Tenggara.

Dalam pada itu, sektor automotif negara terus menjadi tunjang penting kepada ekonomi apabila menyumbang kira-kira RM40 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan lebih 700,000 peluang pekerjaan.

“Malaysia kini mempunyai 27 pemasang kenderaan, termasuk pengeluar tempatan Proton dan Perodua, selain jenama antarabangsa seperti Honda, Toyota dan Mercedes-Benz.

“Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan jualan EV melonjak daripada 278 unit pada 2021 kepada 10,159 unit pada 2023. Awal tahun 2024 pula merekodkan pendaftaran kira-kira 14,766 unit EV bateri (BEV),

“Bagaimanapun, EV masih menyumbang hanya satu hingga dua peratus daripada jumlah pendaftaran kenderaan baharu, atau sekitar lima peratus termasuk model hibrid,” katanya.

Kajian Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) pada 2023 mendapati 58 peratus pengguna masih memilih kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) berikutan kos permulaan EV yang tinggi dan kebimbangan terhadap jarak perjalanan serta infrastruktur pengecasan.

Walaupun begitu, peningkatan kesedaran terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kenaikan harga bahan api dijangka mempercepatkan peralihan pengguna ke arah kenderaan mesra alam dalam tempoh terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN