Kerajaan semak semula jumlah perbelanjaan 2025 kepada RM412.1 bilion - Utusan Malaysia

Kerajaan semak semula jumlah perbelanjaan 2025 kepada RM412.1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN menyemak semula jumlah perbelanjaan 2025 daripada peruntukan diluluskan sebanyak RM421 bilion kepada RM412.1 bilion berikutan pengoptimuman emolumen dan bayaran khidmat hutang (DSC) yang lebih rendah serta pengurangan Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, pelarasan itu mencerminkan komitmen kerajaan menyusun semula pelan perbelanjaan seiring dengan usaha konsolidasi fiskal.

Jelasnya, sebanyak 80.6 peratus daripada jumlah yang disemak semula diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), manakala baki 19.4 peratus diperuntukkan kepada DE.

“Sektor sosial menerima bahagian terbesar sebanyak RM148.9 bilion yang merangkumi 36.1 peratus daripada jumlah peruntukan diikuti sektor ekonomi (RM58.7 bilion: 14.2 peratus), keselamatan (RM42.2 bilion; 10.2 peratus) dan pentadbiran am (RM21 bilion: 5.1 peratus).

“Baki sebanyak 34.4 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan merangkumi bayar khidmat hutang (DSC), bayaran persaraan dan serahan kepada negeri.

“Jumlah OE pada 2025 dianggar sebanyak RM332.1 bilion berbanding peruntukan asal RM335 bilion. Pelarasan ini terutamanya disebabkan oleh pengoptimuman emolumen, bayaran persaraan, DSC dan geran kepada badan berkanun.

“Walau bagaimanapun, peruntukan bagi perkhidmatan dan bekalan serta subsidi dan bantuan sosial diunjur meningkat selaras dengan pelaksanaan dasar berkaitan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Menurut laporan itu, pada 2025, OE dijangka meningkat 3.3 peratus berbanding 2024 terutamanya disebabkan oleh peruntukan lebih tinggi untuk emolumen, bayaran persaraan, DSC serta perkhidmatan dan bekalan.

Katanya, emolumen kekal komponen terbesar OE mewakili 31.2 peratus atau RM103.5 bilion, manakala bayaran persaraan diunjur meningkat 11.6 peratus kepada RM40.1 bilion.

“Bagi subsidi dan bantuan sosial dijangka berkurang sebanyak 15.3 peratus daripada RM67.4 bilion kepada RM57.1 bilion, mankala bayaran khidmat hutang merupakan komponen ketiga terbesar OE merangkumi 16.3 peratus daripada jumlah keseluruhan dan dijangka meningkat 7.6 peratus kepada RM54.3 bilion.

“Selain itu, perkhidmatan dan bekalan diunjur meningkat 12.8 peratus kepada RM42.5 bilion. Sementara itu, sejumlah RM14.8 bilion atau 4.5 peratus DE diperuntukkan sebagai pemberian kepada badan berkonun khususnya institusi pengajian tinggi awam serta agensi pembangunan wilayah dan luar bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN