PETALING JAYA: Kejayaan Hakim Danish Ramli menamatkan penantian selama 10 tahun untuk mencatat keputusan podium pada Kejuaraan Motosikal Dunia di Itali, kelmarin, sewajarnya membuka mata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tentang potensi yang dimiliki pelumba muda itu.
Beraksi dalam kelas Moto3 pada Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello, pelumba berusia 18 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu melengkapkan aksinya di kedudukan ketiga dengan catatan masa 33 minit 08.257 saat.
Pencapaian yang dicatat Hakim Danish itu telah menamatkan kemarau penantian selama 10 tahun untuk mengulangi keputusan podium yang kali terakhir dilakukan oleh Khairul Idham Pawi pada GP Jerman.
Anak jati Terengganu itu berjaya menuai pujian daripada rakyat Malaysia kerana mempamerkan prestasi konsisten sejak bergelar pelumba tetap dalam penampilan sulungnya pada kejuaraan dunia dan kini berada di kedudukan ke-11 keseluruhan dengan 43 mata.
KBS yang berkongsi berita gembira tersebut di platform media sosial, Facebook, telah dihujani kiritikan di ruangan komen ekoran keputusan kementerian itu yang tidak menyalurkan sokongan kewangan buat Hakim Danish pada tahun ini.
Bagi rata-rata peminat sukan bermotor, KBS seolah-olah ‘menunggang’ populariti pelumba muda itu yang mencetuskan sensasi di seluruh negara.
Hakim Danish yang memulakan aksinya dari petak pertama selepas David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP tidak dapat menyertai perlumbaan kerana masalah kesihatan, tidak meraih keputusan podium dengan cara yang mudah.
Pelumba itu berkata, perlumbaan sangat sengit, kelompok hadapan sentiasa bertukar kedudukan dan dia perlu berlumba pada had maksimum dari awal hingga ke akhir saingan.
“Saya tahu satu kesilapan kecil boleh mengubah segala-galanya. Meskipun pada pusingan terakhir saya agak sedikit ke belakang, namun, saya tidak berputus asa.
“Saya hanya cuba untuk kekal tenang dan mencari ruang memintas pelumba lain satu demi satu. Alhamdulillah strategi itu membuahkan hasil untuk saya meraih podium,” katanya yang terjatuh sebanyak dua kali dalam sesi latihan rasmi pada Jumaat.
Ekoran dua insiden yang menimpanya itu, Hakim Danish terpaksa bersaing pada sesi kelayakan 1 (Q1), untuk mencari tempat ke Q2 dan akhirnya usaha keras tersebut berhasil apabila dia melakar masa sepusingan kedua terpantas bagi menempah grid hadapan dalam perlumbaan sebenar.-UTUSAN










