PADA akhir Jun 2025, hutang luar meningkat sebanyak 3.9 peratus kepada RM1.4 trilion atau 69.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (akhir 2024: RM1.35 trilion; 69.9 peratus daripada KDNK), menurut Tinjauan Ekonomi.
Laporan itu berkata, peningkatan ini didorong oleh penyertaan lebih kukuh pelabur bukan pemastautin dalam sekuriti hutang domestik kerajaan serta terbitan bersih bon dan nota di luar negara yang lebih tinggi oleh syarikat awam.
“Pinjaman luar pesisir yang merupakan komponen terbesar hutang luar negeri meningkat kepada RM737.1 bilion sejajar dengan pengurusan mudah tunai dan pengoptimuman lembaran imbangan.
“Pemegangan bukan pemastautin bagi sekuriti hutang dalam denominasi ringgit meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada RM296.1 bilion (akhir 2024: 1.7 peratus; RM274.0 bilion) disokong oleh permintaan semula pelabur terhadap sekuriti kerajaan.
“Sebaliknya, deposit bukan pemastautin berkurang kepada RM145.2 bilion berikutan
pelabur mengimbangi semula portfolio ke arah aset yang mempunyai pulangan lebih tinggi atau lebih cair,” katanya dalam laporan Tinjauan Ekonomi.
Sementara itu, laporan itu berkata, hutang luar lain meningkat kepada RM224.9 bilion terutamanya disebabkan oleh peningkatan penggunaan kredit perdagangan bagi urus niaga berkaitan import.
“Kedudukan hutang luar Malaysia kekal terurus disokong oleh struktur tempoh matang dan kepelbagaian komposisi mata wang di samping langkah berhemat yang ditetapkan oleh BNM.
“Risiko pembiayaan semula dapat dikawal secara berkesan iaitu 57.5 peratus daripada jumlah hutang luar akan matang dalam tempoh jangka masa sederhana hingga panjang,” katanya.
Dari perspektif mata wang, sekitar satu pertiga daripada hutang luar adalah dalam denominasi ringgit manakala selebihnya dalam mata wang asing sekali gus mencerminkan kepelbagaian portfolio hutang luar Malaysia.
Kerajaan Persekutuan komited mengekalkan tahap hutang yang berhemat selaras dengan sasaran konsolidasi fiskal di bawah Akta 850.
Akta ini bertujuan untuk mengurangkan jumlah nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK secara beransur-ansur yang merangkumi pinjaman domestik dan luar pesisir di bawah 60 peratus dalam jangka masa sederhana.
“Walau bagaimanapun, siling hutang berkanun yang ditadbir di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 [Akta 637], Akta Pendanaan Kerajaan 1983 [Akta 275], Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946 [Akta 188] dan Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 [Akta 403] terus kekal sebagai asas perundangan bagi had hutang khusus mengikut jenis instrumen.
“Setakat akhir Jun 2025, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.3 trilion atau 64.7 peratus daripada KDNK.
“Daripada jumlah ini, 98.3 peratus terdiri daripada hutang domestik manakala pinjaman luar pesisir berkurangan kepada 1.7 peratus (separuh pertama 2024: 2.4 peratus) susulan penebusan sukuk global berjumlah AS$1 bilion pada April 2025.
“Tahap hutang berdenominasi asing yang rendah meminimumkan pendedahan kerajaan terhadap risiko pertukaran mata wang asing,” katanya.
Menurut laporan itu, instrumen patuh syariah yang berjumlah RM634.3 bilion atau 48.6 peratus daripada jumlah hutang kekal sebagai komponen utama dalam struktur hutang.
Daripada jumlah ini, 97.8 peratus adalah terbitan domestik manakala bakinya merupakan sukuk global dalam dolar AS.
“Penerbitan berterusan instrumen Islam ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh pasaran modal patuh syariah dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.
“Objektif utama strategi pinjaman adalah untuk mengurangkan risiko pembiayaan semula dengan mengekalkan profil kematangan yang seimbang dan mampan.
“Portfolio hutang domestik kerajaan Persekutuan merangkumi pelbagai tempoh kematangan dan jenis instrumen. Sehingga Jun 2025, instrumen jangka pendek dengan tempoh matang tiga, enam hingga sembilan dan 12 bulan iaitu MTB dan MITB berjumlah RM2 bilion dan RM5.5 bilion,” katanya. – UTUSAN