PETALING JAYA:Pendekatan kreatif kerajaan dalam Belanjawan 2026 yang menggabungkan perbelanjaan awam dengan sumber negara termasuk pembiayaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) adalah langkah strategik bagi merangsang semula sektor pembinaan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, meskipun jumlah peruntukan belanjawan tahun ini mengecil kepada RM419.2 bilion, tambahan pembiayaan lain termasuk daripada GLIC menjadikan jumlah keseluruhan mencecah sekitar RM470 bilion.
Katanya, ini adalah peningkatan yang mampu memberi kesan berganda kepada ekonomi.
“Kaedah ini bijak kerana kerajaan masih berupaya merangsang aktiviti ekonomi tanpa perlu melebarkan defisit fiskal.
“Ia juga menunjukkan keupayaan sektor awam dan entiti milik kerajaan bekerjasama memperkukuh pertumbuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, langkah itu akan memastikan pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pan Borneo dapat diteruskan dengan lebih lancar, sekali gus menjamin kesinambungan aktiviti dalam sektor pembinaan.
Ujarnya, peningkatan perbelanjaan kerajaan dijangka memperkukuh keyakinan isi rumah untuk terus berbelanja, memandangkan perbelanjaan isi rumah menyumbang sekitar 65 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Apabila kerajaan membelanjakan lebih banyak dana ke dalam ekonomi, ia mencetuskan kesan limpahan yang positif kepada sektor swasta dan pengguna,” ujarnya.
Selain itu, Barjoyai berkata, pembangunan rumah mampu milik turut diteruskan sebagai kesinambungan daripada Belanjawan 2025 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kerajaan sedang berusaha memanfaatkan fasa kenaikan ekonomi semasa untuk memperkukuh asas pertumbuhan, sambil mengekalkan disiplin fiskal dengan menurunkan defisit kepada 3.5 peratus daripada KDNK,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perlaksanaan projek-projek infrastruktur bakal memberi kesan limpahan kepada ekonomi setempat dan nasional.
Jelasnya, semasa di peringkat pembinaan, kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek tersebut akan mewujudkan permintaan terhadap binaan seperti simen konkrit, besi, khidmat jurutera runding dan institusi kewangan bagi tujuan pembiayaan dan pelbagai lagi.
“Setelah projek disiapkan, manfaat projek tersebut seperti kelancaran dari segi mobiliti barangan dan manusia bakal membantu dalam meningkatkan produktiviti negara.
“Selain itu, ia boleh memberi kesan limpahan terhadap sektor hartanah dengan adanya rumah, rumah kedai, pusat membeli belah, premis agensi kerajaan, sekolah, hospital dan pelbagai lagi yang semuanya akan merancakkan ekonomi setempat,” jelasnya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan belanjawan yang mengumpulkan sumber berjumlah RM470 bilion bagi 2026 dengan mengutamakan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan.
Belanjawan 2026 yang bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat akan mengumpulkan dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC, badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, angka itu meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus (OE) Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RMI0 bilion pelaburan awam-swasta, dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD.-UTUSAN









