EKONOMI Amerika Syarikat (AS) dijangka berkembang pada kadar sederhana sebanyak 2 peratus pada tahun 2026, didorong oleh pengukuhan permintaan domestik dan peningkatan dalam perdagangan global, menurut Laporan Tinjauan Ekonomi Global.
Pertumbuhan tersebut turut disokong oleh sentimen pelaburan yang bertambah baik, berikutan pengurangan ketidakpastian dasar serta pelonggaran dasar monetari oleh Rizab Persekutuan (Fed).
“Walaupun perbelanjaan kerajaan dijangka kekal terkawal, langkah fiskal bersasar khususnya dalam sektor infrastruktur dan tenaga dijangka memberi rangsangan sederhana terhadap ekonomi,” katanya.
Menurut laporan itu, pertumbuhan ekonomi AS dijangka lebih meluas dengan pengembangan ketara dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang terus menjadi tunjang utama aktiviti ekonomi negara tersebut.
“Selain itu, penggunaan swasta diunjurkan meningkat hasil daripada inflasi yang semakin menyederhana, kadar guna tenaga yang stabil serta peningkatan kecil dalam pertumbuhan upah.
“Pemulihan kuasa beli dijangka turut dipacu oleh penstabilan kadar faedah ke paras normal dalam jangka panjang.
“Pasaran buruh pula kekal kukuh dengan kadar pengangguran diunjurkan pada 4.2 peratus, menandakan daya tahan ekonomi domestik AS walaupun berdepan ketidaktentuan global,” katanya.
Dari segi harga, inflasi dijangka turun kepada 2.5 peratus, menunjukkan tahap kestabilan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Namun begitu, laporan tersebut berkata, terdapat risiko yang wujud, terutamanya disebabkan oleh ketidakseimbangan fiskal, ketidakpastian pasaran kewangan global serta hala tuju dasar monetari Fed pada masa depan.
Selain itu, kemungkinan pelaksanaan semula langkah tarif dan ketegangan perdagangan antarabangsa boleh menambah tekanan terhadap kos import, sekali gus mendorong peningkatan inflasi serta menghakis pendapatan sebenar isi rumah.
Tambah laporan itu, kebimbangan mengenai kemampanan hutang awam dan kadar penyatuan fiskal boleh mempengaruhi keputusan pelaburan jangka panjang, khususnya dalam sektor strategik dan teknologi tinggi yang menjadi tumpuan utama dasar ekonomi AS menjelang 2026. – UTUSAN